Mohamed Khaled Mulakan Lawatan Rasmi Di Vietnam, Perkukuh Kerjasama Pertahanan

KUALA LUMPUR, 5 Ogos — Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memulakan lawatan rasmi dua hari di Vietnam hari ini bagi memperkukuh kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata lawatan itu merupakan kunjungan rasmi pertamanya ke Vietnam sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan.

Mohamed Khaled yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi, dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam Le Minh Hung serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Vietnam Jeneral Phan Van Giang.

“Malaysia dan Vietnam sememangnya mempunyai hubungan pertahanan yang erat.

“Pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pertahanan pada Disember 2023 mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan dua hala,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook hari ini.

Beliau berkata lawatan berkenaan diharap membawa hubungan pertahanan Malaysia-Vietnam ke tahap lebih tinggi, selain membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberikan manfaat kepada kedua-dua negara, serta menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rantau.