China Seru Tadbir Urus terhadap Teknologi Baharu bagi Mengelak dari Disalahguna Pengganas

China menyeru supaya menguatkan tadbir urus antarabangsa ke atas penggunaan teknologi baharu untuk mengelakkannya daripada disalahguna kelompok pengganas.

Seruan itu disuarakan Naib Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sun Lei ketika berucap pada sesi terbuka mengenai isu anti-keganasan Majlis Keselamatan PBB di New York, pada Khamis.

Sun menggesa masyarakat antarabangsa berteguh kepada pendirian ‘toleransi sifar’ terhadap keganasan, memperkuat pengawalseliaan terhadap penggunaan teknologi baharu, dan mencegah ‘tiga kuasa’ iaitu kuasa pengganas, pemisah perkauman dan pelampau yang bertopeng agama, daripada memanfaatkan teknologi baharu sewenang-wenangnya ketika menyebarkan manifesto dan ajaran mereka.

Masyarakat antarabangsa perlu membantu negara-negara membangun untuk menaik taraf kemampuan anti-keganasan dan memperhebat pembinaan benteng pertahanan antikeganasan.

Sun berkata, masyarakat antarabangsa harus menegakkan konsep keselamatan baharu yang bersifat ‘bersama, komprehensif, bekerjasama, dan mampan’, mengelak daripada mempolitikkan atau memperalatkan isu anti-keganasan, serta sentiasa menumpu pada peningkatan keberkesanan dalam usaha memerangi keganasan antarabangsa melalui kerjasama yang bersatu.

China konsisten dalam memperincikan pelaksanaan Inisiatif Keselamatan Global (GSI), dan secara aktif melibatkan diri dalam kolaborasi antikeganasan di bawah kerangka PBB, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), BRICS dan lain-lain, sambil berkongsi pengalaman antikeganasan dengan masyarakat antarabangsa, serta membantu negara-negara berkaitan memperkukuh keupayaan  memerangi keganasan. 

Sun turut meluahkan kesediaan China untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi membanteras keganasan dalam apa jua bentuknya, dan giat menyumbang kepada pembinaan dunia tanpa keganasan.