WASHINGTON, 17 Ogos — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad berkata beliau mengarahkan Setiausaha Perang Pete Hegseth supaya mengurangkan latihan ketenteraan bersama AS-Korea Selatan secara ketara, sambil menyatakan latihan itu bukan sahaja “mahal” malah memberikan isyarat yang “sama sekali tidak wajar dan bersifat mengancam” kepada Korea Utara.
Trump membuat kenyataan itu menerusi hantaran media sosial ketika Seoul dan Washington dijadual memulakan latihan tahunan “Ulchi Freedom Shield” minggu ini, yang sejak sekian lama dikecam Pyongyang sebagai latihan persediaan perang, lapor Agensi Berita Yonhap.
“Berdasarkan hubungan saya yang sangat baik dengan Kim Jong Un dari Korea Utara, saya tidak gembira dengan hakikat bahawa Amerika Syarikat sejak dahulu lagi bersetuju untuk menyertai latihan ketenteraan bersama Korea Selatan
“Latihan ini bukan sahaja mahal, dengan sebahagian besar kos ditanggung oleh Amerika Syarikat (seperti biasa!), malah memberikan isyarat yang sama sekali tidak wajar dan bersifat mengancam kepada sebuah negara yang, sepanjang Donald J. Trump menjadi Presiden, tidak menimbulkan ancaman dan menunjukkan sikap hormat.
“Memandangkan sudah terlambat untuk membatalkannya, saya telah mengarahkan Hegseth supaya mengurangkan secara ketara latihan ketenteraan bersama itu!” tulis Trump di Truth Social.
Trump turut berkata beliau baru-baru ini bertanya kepada Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung sama ada Seoul mahu menyertai usaha melucutkan keupayaan nuklear Iran, namun menerima jawapan: “Tidak, terima kasih.”
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu.













Tinggalkan Balasan