PUTRAJAYA, 21 Ogos — Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi prosiding reman berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi berkenaan.
Individu berusia lingkungan 60-an itu tiba pada 9.35 pagi dengan memakai baju reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga.
Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lepas antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan yang lalu dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.
Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH daripada 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.
RCI berkenaan mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.
SPRM pada 30 Julai memaklumkan menubuhkan pasukan khas bagi menyemak dan meneliti laporan RCI bagi meneliti sebarang isu perundangan melibatkan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 atau kesalahan yang berkaitan.

















Tinggalkan Balasan