KUALA LUMPUR, 21 Ogos — LBS Bina Group Bhd mencatat keuntungan bersih sebanyak RM15.04 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 daripada RM27.08 juta pada suku kedua tahun kewangan 2025.
LBS dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia memaklumkan keuntungan bersih yang rendah itu adalah berikutan asas perbandingan yang tinggi pada suku sama tahun lepas, yang menerima manfaat daripada pembalikan peruntukan kontingensi yang tidak lagi diperlukan bagi projek yang telah siap.
Perolehan meningkat kepada RM340.46 juta daripada RM309.84 juta pada tahun sebelumnya.
Menurut LBS segmen pembangunan kekal sebagai penyumbang utama bagi perolehan kumpulan, dengan menjana RM293.10 juta, terutamanya berikutan sumbangan daripada beberapa projek pembangunan yang telah siap atau hampir siap.
“Perolehan daripada segmen pembinaan dan perdagangan meningkat 439.4 peratus kepada RM41.30 juta daripada RM7.70 juta tahun lepas, terutama didorong oleh sumbangan yang tinggi daripada anak syarikat di luar negara,” menurutnya dalam kenyataan berasingan.
Bagi enam bulan pertama tahun 2026, LBS mencatat keuntungan bersih sebanyak RM32.07 juta berbanding RM55.31 juta sebelumnya manakala perolehan berjumlah RM636.98 juta berbanding RM639.03 juta untuk tempoh yang sama tahun lepas.
Pengerusi Eksekutif kumpulan LBS Tan Sri Dr Lim Hock San berkata keadaan pasaran terus dipengaruhi oleh perkembangan geopolitik dan tekanan kos yang berterusan manakala pembeli rumah mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dalam keputusan pembelian mereka.
“Oleh itu, kami melaraskan pelancaran projek seiring dengan permintaan pasaran serta menilai setiap projek berdasarkan kesesuaian produk, harga dan masa.
“Kami kekal berdisiplin dalam perancangan pelancaran dan tidak akan membawa projek ke pasaran semata-mata untuk memenuhi garis masa yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata walaupun sumbangan keuntungan berada pada tahap sederhana bagi tempoh ini, kumpulan kekal mencapai keuntungan dan mempunyai daya tahan kewangan, disokong oleh rangkaian jualan sedia ada, lembaran kewangan yang kukuh serta fleksibiliti kewangan.
Menurut LBS, kumpulan itu mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh, dengan deposit, tunai dan baki bank sebanyak RM591.2 juta setakat 30 Jun 2026 manakala nisbah tahap kadar hutang bersih kekal pada kira-kira 0.35 kali.
Langkah itu sekali gus memberikan kumpulan itu fleksibiliti kewangan untuk menyokong perancangan pembangunan sedia ada serta merebut peluang pertumbuhan pada masa hadapan.
Menurut LBS pihaknya berjaya menyempurnakan terbitan ketiga Sukuk Wakalah SRI Sosial ASEAN bernilai RM150 juta dalam nilai nominal pada Julau 2026 di bawah Program Sukuk Wakalah RM750.0 juta.
“Terbitan dengan tempoh tujuh tahun ini mengukuhkan lagi kapasiti pembiayaan dan fleksibiliti kewangan kumpulan bagi menyokong operasi perniagaan, inisiatif pembangunan lestari serta pembangunan terancang,” katanya.
Setakat 19 Ogos 2026, kumpulan memiliki jumlah simpanan tanah seluas 1,578 hektar manakala jualan belum dibilkan LBS berjumlah RM1.06 bilion setakat 31 Julai 2026, sekali gus menyediakan kebolehlihatan bagi hasil tahun-tahun akan datang.
LBS juga memaklumkan bahawa persediaan bagi pembangunan LBS di Kwasa Damansara berjalan lancar seperti yang dirancang dengan pembangunan itu dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan jangka panjang yang bermakna, seterusnya memperkukuh perancangan pembangunan dan jualan masa hadapan.
Lembaga pengarah turut mengisytiharkan dividen tunggal interim pertama sebanyak 0.85 sen setiap saham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2026, yang akan dibayar pada 19 Nov 2026.

















Tinggalkan Balasan