Tiga Bulan Redah Lautan Demi Amanah Negara Bawa Pulang Kapal TLDM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Meredah lautan selama hampir tiga bulan dari Cherbourg, Perancis ke tanah air pada 1973 menjadi antara episod mencabar buat 171 warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam misi membawa pulang empat kapal perang negara.

Laksamana Muda (B) Datuk Danyal Balagopal Abdullah berkata pada usia 22 tahun ketika itu, beliau bersama 170 kru lain menggalas amanah membawa pulang KD Perdana, KD Ganas, KD Ganyang dan KD Serang yang merupakan antara kapal ofensif moden terawal dimiliki TLDM dan beroperasi di Asia Tenggara.

“Saya sebagai Pegawai Pandu Arah KD Ganyang dan kru lain diberi tanggungjawab besar membawa pulang empat kapal ini ke Malaysia dan bagi kami ketika itu ia bukan sekadar membawa pulang kapal tetapi melaksanakan amanah diberikan demi negara.

“Pada masa sama, kami teruja untuk balik ke kampung kerana sebelum itu kami telah menjalani kursus dan latihan di Perancis selama setahun hingga lebih dua tahun mengikut peranan masing-masing sebagai persediaan mengendalikan kapal berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Keempat-empat Kelas Perdana Combatante itu dibina Constructions Mécaniques de Normandie (CMN) di Cherbourg dan dilengkapi pelbagai sistem persenjataan moden termasuk peluru berpandu antikapal MM38 Exocet yang sekali gus memberikan TLDM keupayaan serangan jarak jauh.

“Kami menghadapi pelbagai cabaran sepanjang perjalanan, termasuk laut bergelora dan kerosakan kapal. Tetapi tugas perlu diteruskan. Kami perlu memastikan kapal-kapal ini sampai ke tanah air bersempena dengan sambutan Hari TLDM pada 1 Julai tahun berkenaan,” katanya.

Pelayaran sejauh kira-kira 12,000 batu nautika itu dimulakan skuadron berkenaan dari Cherbourg pada pada 5 Mei 1973 tetapi terpaksa berpatah balik kira-kira enam jam kemudian akibat cuaca buruk di Teluk Biscay sebelum meneruskan pelayaran pada keesokan harinya.

Krisis di Timur Tengah yang menyebabkan Terusan Suez ditutup memaksa skuadron itu mengubah haluan dengan mengelilingi Tanjung Harapan sebelum merentasi Lautan Hindi untuk kembali ke tanah air.

Beliau berkata antara detik paling mencabar ialah ketika menghampiri Tanjung Harapan apabila angin kencang dan ombak besar memaksa kapal dikemudi menerusi perubahan haluan kecil dan pelarasan kelajuan bagi memastikan keselamatan kapal dan kru.

Pelayaran itu turut menyaksikan KD Perdana mengalami kerosakan sistem pengemudian, manakala ketika menuju ke Lourenço Marques, Mozambique, laut bergelora menyebabkan rakit keselamatan KD Serang tercabut dan KD Perdana mengalami kerosakan paling teruk pada dek atas.

“Selanjutnya, dalam pelayaran menuju ke Diego Suarez, Madagascar, skuadron berdepan laut bergelora dan angin kencang Force 8 hingga 9 (kelajuan angin 63 hingga 87 kilometer sejam) sehingga rakit keselamatan (liferaft) KD Serang rosak,” katanya.

Danyal berkata pelayaran berkenaan melalui 14 persinggahan port of call untuk mendapatkan bekalan termasuk Lisbon, Portugal; Las Palmas, Kepulauan Canary; Dakar, Senegal; Lagos, Nigeria; Mossamedes, Angola; Simon’s Town, Afrika Selatan; Lourenço Marques, Mozambique; Diego Suarez, Madagascar; Mahé, Seychelles dan Addu Atol, Maldives.

Menurutnya, selepas berhadapan dengan pelbagai cabaran ketika melalui Lautan Atlantik dan Hindi, perkara paling menggembirakan ialah apabila kru dapat melihat Pulau Jarak di dalam radar ketika skuadron mula memasuki Selat Melaka dan berlabuh di Butterworth, Pulau Pinang.

Skuadron berkenaan seterusnya berlabuh di Klang sebelum tiba di Malaysian Base Jetty di Woodlands, Singapura pada 1 Julai 1973 bagi menyertai perarakan kapal bersempena dengan sambutan Hari TLDM, iaitu menepati sasaran ditetapkan kerajaan pada ketika itu.

Lebih manis, menurut Danyal empat kru skuadron itu kemudian dilantik Panglima Tentera Laut dengan seorang daripada mereka turut menjadi Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  pada peringkat akhir karier mereka.

Mereka ialah Laksamana (B) Tan Sri Abu Bakar Abdul Jamal, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Ramly Abu Bakar, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor yang turut menjadi Panglima ATM dan Laksamana Tan Sri Ilyas Din.

Hari ini, empat kapal dengan sesaran 234 tan dan kepanjangan 47 meter setiap satu itu masih beroperasi bagi mengawal kawasan maritim negara namun telah ditukar fungsi daripada kapal pelancar misil kepada kapal rondaan berikutan keusangan sistem dan kelengkapannya.

Kisah pelayaran itu menjadi antara lembaran sejarah yang mengingatkan bahawa pengorbanan demi negara hadir dalam pelbagai bentuk, termasuk kesanggupan anggota pasukan keselamatan menggadaikan keselesaan, tenaga dan keselamatan diri bagi memastikan amanah kepada tanah air dilaksanakan.

Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM), kisah 171 warga TLDM itu membuktikan bahawa nikmat keamanan dan kedaulatan dikecapi hari ini dibina atas keberanian serta pengorbanan generasi terdahulu yang mengutamakan amanah kepada negara daripada kepentingan peribadi.