KOTA BHARU, 28 Ogos — Mengetahui zakat itu wajib belum memadai apabila masih terdapat masyarakat yang hanya menunaikannya pada musim tertentu, sekali gus menunjukkan bahawa kesedaran tentang kewajipan berzakat masih belum sepenuhnya diterjemahkan kepada amalan secara konsisten.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata cabaran utama dalam meningkatkan kesedaran berzakat ketika ini ialah kefahaman masyarakat yang masih tertumpu pada zakat fitrah, manakala pengetahuan mengenai zakat pendapatan, perniagaan, simpanan, emas, saham dan harta lain masih belum menyeluruh.
Beliau berkata tahap pemahaman masyarakat terhadap jenis zakat, syarat kewajipan, pengiraan nisab serta kaedah taksiran juga masih berbeza-beza meskipun zakat adalah antara tuntutan asas dalam Islam.
“Perubahan corak pekerjaan dan sumber pendapatan turut menjadi cabaran baharu. Masyarakat hari ini tidak lagi bergantung pada gaji tetap semata-mata seperti pekerja gig, freelancer, pencipta kandungan serta individu yang memperoleh pendapatan daripada beberapa sumber memerlukan pendekatan penerangan dan pentaksiran yang lebih bersesuaian dengan realiti semasa,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Abdul Hakim berkata lambakan maklumat di media sosial yang tidak tepat atau tidak selaras dengan ketetapan pihak berautoriti turut menjadi cabaran, selain keperluan meningkatkan keyakinan masyarakat melalui ketelusan pengurusan dan bukti impak agihan zakat.
Beliau berkata terdapat jurang antara kesedaran masyarakat berhubung kewajipan berzakat dengan tindakan untuk menunaikannya.
“Peningkatan jumlah kutipan semata-mata tidak semestinya menggambarkan peningkatan kesedaran secara keseluruhan kerana nilai kutipan boleh dipengaruhi oleh pertumbuhan pendapatan serta peningkatan jumlah bayaran dalam kalangan pembayar sedia ada,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata penilaian tahap kesedaran perlu mengambil kira bilangan pembayar dan perubahan tingkah laku pembayaran, dan bukannya jumlah kutipan sahaja.
Antara indikator yang relevan ialah pertumbuhan pembayar baharu, konsistensi pembayaran dan kecenderungan menggunakan saluran pembayaran berkala, selain perubahan daripada pembayaran bermusim kepada pembayaran konsisten.
Data PPZ-MAIWP menunjukkan jumlah pembayar zakat harta meningkat kepada 232,901 orang pada 2025 berbanding 231,112 orang pada 2024, iaitu peningkatan 0.8 peratus.
“Kesedaran meningkat berdasarkan pertambahan pembayar zakat,” katanya.
Abdul Hakim berkata antara kumpulan yang memerlukan pendekatan lebih khusus ialah pekerja gig, pekerja bebas, peniaga mikro, usahawan digital serta individu yang mempunyai pendapatan tidak tetap atau daripada pelbagai sumber.
Beliau berkata golongan berkenaan bukannya enggan menunaikan zakat, namun perubahan jumlah pendapatan, ketiadaan rekod kewangan yang tersusun dan kekeliruan berkenaan kaedah pengiraan boleh menyebabkan mereka menangguhkan taksiran atau pembayaran.
“Mereka juga mungkin tidak terlibat dalam skim potongan zakat melalui majikan seperti pekerja bergaji tetap,” katanya.
Beliau berkata golongan profesional muda yang baru memasuki alam pekerjaan turut menjadi segmen penting kerana sebahagian daripada mereka mempunyai kesedaran mengenai zakat, tetapi belum memahami sepenuhnya tempoh bermulanya membayar zakat, cara menentukan kelayakan serta perbezaan antara zakat, cukai dan sedekah.
Selain itu, Abdul Hakim berkata terdapat individu yang lebih selesa menyampaikan bantuan secara terus kepada ahli keluarga atau golongan yang memerlukan.
“Niat untuk membantu itu sememangnya baik, namun mereka perlu diberi penjelasan mengenai syarat, niat, kelayakan penerima serta ketetapan pihak berautoriti agar kewajipan zakat benar-benar disempurnakan,” katanya.
Berhubung salah faham berkaitan zakat, beliau berkata antara yang masih berlaku ialah anggapan bahawa pembayaran zakat fitrah telah merangkumi semua kewajipan zakat seseorang.
“Zakat fitrah dan zakat harta merupakan dua kewajipan yang berbeza. Seseorang individu mungkin turut tertakluk pada zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, emas atau jenis harta lain apabila memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.
Abdul Hakim berkata PPZ-MAIWP turut menerima pertanyaan tentang hubungan antara zakat dengan cukai pendapatan, termasuk anggapan bahawa potongan cukai telah menggantikan kewajipan zakat.
“Kedua-duanya mempunyai asas dan tujuan yang berbeza. Pembayar disarankan mendapat taksiran yang tepat serta memahami kemudahan rebat cukai yang diberikan terhadap pembayaran zakat, tertakluk pada peraturan semasa,” katanya.
Beliau berkata terdapat juga anggapan bahawa semua bentuk sumbangan, sedekah atau bantuan kepada ahli keluarga, pusat tahfiz dan rumah kebajikan secara automatik boleh dikira sebagai zakat.
“Sedekah merupakan amalan yang sangat digalakkan, namun zakat mempunyai hukum, syarat, niat serta kategori penerima yang khusus dan sesuatu sumbangan tidak semestinya memenuhi kewajipan zakat sekiranya syarat tersebut tidak dipatuhi. Pada masa sama, individu berpendapatan tidak tetap juga tidak semestinya terkecuali daripada kewajipan zakat, manakala pembayaran zakat tidak hanya perlu dilakukan pada Ramadan atau penghujung tahun.
“Hakikatnya, kewajipan zakat ditentukan berdasarkan jenis harta, jumlah yang dimiliki serta syarat berkaitan dan bukannya semata-mata berdasarkan status pekerjaan atau musim tertentu, sekali gus menunjukkan kepentingan pendidikan zakat yang berterusan melalui penyampaian maklumat dalam bahasa yang mudah difahami tanpa menjejaskan ketepatan hukum dan ketetapan pihak berautoriti,” katanya.
















Tinggalkan Balasan