SERDANG, 31 Ogos — Sejumlah RM500,000 nilai jualan disasarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian (MAEPS), di sini bermula 28 Ogos hingga 6 Sept.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata jangkaan nilai jualan menerusi Laman Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) KUSKOP@MAHA 2026 yang diadakan buat julung-julung kali itu telah mencapai lebih RM110,000 setakat semalam.
“Tahun ini, KUSKOP telah diberikan satu pavilion dan kita bawa 66 syarikat, koperasi serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyertai pameran di MAHA 2026.
“Syukur, kita sudah mencatat kehadiran lebih 100,000 pengunjung untuk beberapa hari ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Laman HPMKUSKOP@MAHA 2026 di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Menyifatkan MAHA 2026 sebagai program yang cukup bermakna, Sim turut mengucapkan tahniah serta penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang dipimpin Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu atas kejayaan penganjuran acara dwitahunan itu.
MAHA 2026 bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” menghimpunkan kira-kira 2,000 pempamer dan menyasarkan kehadiran lebih empat juta pengunjung pada edisi kali ini.

















Tinggalkan Balasan