Iran Akan Isytihar Zon Maritim ‘Terhad’ Di Luar Selat Hormuz: Pegawai Keselamatan

ISTANBUL, 7 Sept — Iran akan mengisytiharkan zon maritim baharu “terhad” di luar Selat Hormuz dalam beberapa hari akan datang, kata pegawai tertinggi keselamatan negara itu pada Ahad sambil memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang memasuki kawasan berkenaan akan dimasukkan dalam senarai sekatan, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam wawancara yang disiarkan di televisyen, Setiausaha Majlis Tertinggi Keselamatan Negara Iran Mohsen Rezaei berkata zon itu akan bermula dari garisan sekatan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dan meliputi beberapa bahagian Teluk, menurut stesen televisyen kendalian kerajaan Iran, Press TV.

“Mana-mana kapal yang memasuki zon baharu ini akan dimasukkan dalam senarai sekatan,” katanya.

Rezaei turut berkata Iran dan Oman akan menandatangani perjanjian dalam beberapa hari akan datang mengenai koridor baharu melalui Selat Hormuz, dengan pintu masuk dan keluarnya berada di bawah kawalan Iran.

Beliau berkata Selat Hormuz kini “ditutup sepenuhnya dan berada di bawah kawalan angkatan tentera”, sambil menyifatkan dakwaan Presiden AS Donald Trump bahawa laluan perairan strategik itu masih terbuka sebagai “pembohongan”.

Sebelum Iran menutup selat itu, lebih 100 kapal yang membawa lebih 100 juta tan kargo melaluinya setiap hari, kata Rezaei.

Beliau berkata kini hanya tujuh atau lapan kapal yang membawa barangan keperluan untuk Iran melalui laluan perairan itu.

“Pihak Amerika cuba menyeludup lima hingga enam kapal melaluinya dengan kos yang tinggi, tetapi kapal-kapal ini biasanya diserang,” kata beliau tanpa mengulas lanjut.

Rezaei berkata Iran memutuskan untuk tidak menenggelamkan kapal-kapal berkenaan kerana ia membawa minyak dan tindakan sedemikian akan menjejaskan alam sekitar di rantau itu.

Beliau turut mendakwa Iran berjaya menguji peluru berpandu antikapal baharu di ruang udara di atas sebuah kapal Tentera Laut AS, 48 jam sebelum itu.

“Buat kali pertama, kami menguji peluru berpandu antikapal kami di atas sebuah kapal perang Amerika.

“Peluru berpandu khas ini mencetuskan keadaan seperti neraka bagi pihak Amerika dan mereka melarikan diri,” katanya tanpa mengenal pasti kapal berkenaan atau menyatakan lokasi ujian itu dilakukan.

Dalam perkembangan berasingan, beliau menolak dakwaan bahawa sekatan ekonomi AS menyebabkan kebuluran meluas di Iran.

“Dakwaan bahawa sekatan ekonomi AS menyebabkan kebuluran besar di Iran adalah satu pembohongan besar.

“Kerajaan Iran telah lama membuat persediaan menghadapi keadaan ini dan mempunyai stok makanan serta barangan keperluan yang mencukupi,” kata beliau. 

Ketegangan serantau meningkat sejak serangan AS dan Israel ke atas Iran bermula pada 28 Feb, dengan Tehran bertindak balas melalui serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel serta kepentingan AS di seluruh rantau itu.