IPT Disaran Bentuk Konsortium Kecil Fokus Bidang Strategik Di Vietnam

DA NANG, 7 Sept — Institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta disaran menubuhkan konsortium kecil yang memberi fokus kepada bidang strategik masing-masing, di Vietnam.

Bercakap pada majlis simbolik penerimaan sumbangan Ibnu Sabil Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) daripada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di sini, Konsul Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh Firdauz Othman berkata Malaysia dan Vietnam mempunyai hubungan baik dan erat, termasuk dalam bidang pendidikan yang boleh terus diperkukuh menerusi kerjasama institusi.

“Hubungan dua hala ini semakin kukuh susulan kedua-dua negara memasuki era baharu yang dinamik menerusi Perkongsian Strategik Komprehensif pada November 2024.

“Kerjasama sedemikian penting bagi memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara menerusi perkongsian kepakaran, mobiliti pelajar serta kerjasama antara institusi,” katanya.

Majlis tersebut adalah bersempena program International Leadership Mobility (ILM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diketuai baginda selaku Canselor dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil Pro Canselor 1 UniMAP.

Turut berangkat dua puteri baginda Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail merangkap Pro Canselor 2 UniMAP dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Firdauz berkata bidang strategik UniMAP yang boleh diketengahkan termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), automasi, pertanian pintar, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pelancongan pendidikan.

Beliau berkata perkembangan yang sangat positif pada masa ini mencerminkan potensi besar untuk memperluas kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara, khususnya melalui jaringan institusi dan program mobiliti.

“Pendidikan terus berkembang melalui mobiliti dan kerjasama institusi, termasuk hubungan pendidikan antara Malaysia dan Vietnam yang semakin aktif,” katanya.