Bakal Pembeli Rumah Digalak Semak Maklumat Projek, Pemaju Melalui Portal TEDUH

PUTRAJAYA, 7 Sept — Orang ramai khususnya bakal pembeli rumah digalakkan menyemak maklumat pemaju dan projek perumahan menerusi portal dan aplikasi mudah alih TEDUH sebelum membuat keputusan pembelian bagi mengurangkan risiko berdepan masalah kemudian hari.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memaklumkan TEDUH, yang dibangunkan Jabatan Perumahan Negara (JPN) merupakan platform sehenti yang menyediakan akses kepada maklumat seperti status lesen pemaju, Permit Iklan dan Jualan (APDL), kemajuan projek serta maklumat berkaitan projek perumahan swasta.

“Melalui kempen #TEDUHBersama, KPKT mahu membudayakan amalan ‘semak sebelum beli’ dalam kalangan masyarakat, khususnya bakal pembeli rumah sebagai langkah awal untuk mengurangkan risiko berurusan dengan pemaju tanpa lesen atau membuat keputusan pembelian tanpa mengetahui kedudukan sebenar sesuatu projek,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPKT, portal itu turut menyediakan kemudahan semakan status projek perumahan swasta termasuk projek yang dikategorikan sebagai lewat, sakit atau terbengkalai, selain harga jualan yang diluluskan.

Pengguna juga boleh menyemak kelulusan tertentu yang dikeluarkan kerajaan termasuk Lanjutan Masa (EOT), mengesahkan kesahihan dokumen berkaitan serta menyalurkan aduan pemajuan perumahan kepada JPN untuk semakan dan tindakan lanjut.

Ketua Pengarah JPN Dr Tan Awang Besar dalam kenyataan sama berkata orang ramai disaran untuk membuat semakan sebelum membuat pembelian rumah kerana ia merupakan antara komitmen kewangan terbesar dalam kehidupan seseorang.

“Langkah mudah ini penting bagi membantu pembeli mendapatkan maklumat yang sahih, membuat keputusan dengan lebih yakin serta mengurangkan risiko berdepan masalah pada kemudian hari,” katanya.

TEDUH dilancarkan pada 11 Ogos 2017 dan terus diperkasakan secara berperingkat sebagai platform rujukan perumahan yang lebih komprehensif, telus dan mesra pengguna.

Menurut KPKT,  portal TEDUH merekodkan lebih 45 juta pelawat secara keseluruhan setakat Ogos lepas.

Orang ramai boleh mengakses Portal TEDUH melalui teduh.kpkt.gov.my atau menggunakan aplikasi mudah alih TEDUH.