KUALA LUMPUR, 10 Sept — Ringgit kekal tidak berubah berbanding dolar AS ketika dagangan dibuka pada Khamis dan para pelabur menunggu data indeks harga pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) diterbitkan pada Jumaat.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu tidak berubah pada paras 4.0670/0720 berbanding dolar AS ketika ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data IHP AS itu akan mempengaruhi jangkaan terhadap hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan AS serta memberi tekanan terhadap sentimen pasaran.
“Kelihatannya sokongan terhadap ringgit agak terhad, terutama apabila peniaga akan memantau data IHP AS yang akan diterbitkan pada Jumaat.
“Pada masa sama, persekitaran pasaran kini cenderung kepada penghindaran risiko dan peniaga mencari perlindungan daripada turun naik pasaran susulan harga minyak mentah yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.
Justeru, pihaknya menjangkakan gandingan dolar AS-ringgit akan diniagakan dalam julat RM4.05 hingga RM4.07 hari ini.
Mohd Afzanizam berkata harga minyak mentah Brent berada sekitar US$101.21 setong berikutan jangkaan bahawa ketegangan antara AS dan Iran akan meningkat.
Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang utama.
Mata wang tempatan itu susut berbanding yen Jepun kepada 2.6483/6519 daripada 2.6474/6509 ketika ditutup pada Rabu, merosot berbanding euro kepada 4.7311/7370 daripada 4.7275/7333, dan turun berbanding pound Britain kepada 5.5100/5167 daripada 5.5043/5110.
Berbanding mata wang serantau, ringgit diniagakan bercampur-campur.
Ringgit meningkat sedikit berbanding baht Thailand kepada 12.3459/3675 daripada 12.3579/3788 pada penutup sebelumnya, manakala ia tidak berubah berbanding peso Filipina dan rupiah Indonesia masing-masing pada 6.50/6.52 dan 232.2/232.6.
Bagaimanapun, mata wang tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2165/2210 daripada 3.2150/2192 sebelumnya.
















Tinggalkan Balasan