KUALA LUMPUR, 12 Sept — Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Sekretariat Musyawarah Nasional untuk menjadikan lapan ikhtiar dalam Agenda Malaysia Biru sebagai fokus dalam pembengkelan dan pemukiman yang akan diadakan di Melaka.
Menggariskan agenda berkenaan, beliau berkata matlamatnya adalah untuk menghasilkan pelan tindakan Agenda Malaysia Biru yang lebih komprehensif, praktikal serta mempunyai sasaran yang jelas.
“Saranan saya, Agenda Malaysia Biru tidak boleh berhenti sebagai gagasan, ia mesti diterjemahkan dalam bentuk dasar, tindakan, hasil dan mesti membumi dan merakyat.
“Kita jadikan ia sebagai janji dalam manifesto rasmi Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Antara yang turut hadir, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, dua Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ketika menyampaikan ucapan dasar pada PAU 2026 semalam, Ahmad Zahid berkata UMNO dan BN akan menggariskan Agenda Malaysia Biru untuk membentuk hala tuju negara menjelang 100 tahun usia kemerdekaan sekiranya gabungan itu kembali menerajui Putrajaya.
Agenda berkenaan membawa aspirasi untuk membina Malaysia yang Berdaulat dan Bersatu, Inovatif dan Berpendapatan Tinggi, Rakyat Makmur dan Saksama, serta Unggul dan Disegani Dunia.
Antara ikhtiar yang digariskan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pencipta dengan meletakkan sasaran syarikat berteknologi tinggi dan industri bertaraf global yang dicipta, direka dan dimiliki oleh rakyat Malaysia.
Aspirasi Agenda Malaysia Biru juga bertujuan menjadikan Malaysia negara yang sejahtera dengan mengubah cara menilai kejayaan ekonomi, seperti meletakkan sasaran setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan boleh guna selepas memenuhi keperluan asas bagi menyimpan, melabur dan menikmati kehidupan.
Agenda berkenaan turut akan menyusun semula keutamaan negara, antaranya dengan penstrukturan percukaian termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar yang munasabah.















Tinggalkan Balasan