Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN merupakan wahana utama dalam pembinaan komuniti berkongsi nasib kedua-dua pihak.
Demikian dinyatakan Naib Perdana Menteri China, Ding Xuexiang ketika menghadiri dan menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian Ekspo China-ASEAN ke-23 sempena Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan China-ASEAN yang membuka tirai di sini Khamis.
Ding yang juga merupakan Ahli Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China menunjukkan bahawa selepas Protokol Penaiktarafan Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) versi 3.0 berkuatkuasa dan dilaksanakan, ia akan menyuntik tenaga penggerak baharu yang berterusan ke dalam pembangunan ekonomi serantau.
“Menyentuh tentang usaha mendorong pembinaan CAFTA ke arah yang berprofil tinggi, saya mengemukakan 4 cadangan. Pertama, menggalakkan peningkatan tahap keterbukaan serantau secara menyeluruh. Kedua, menggalakkan peningkatan kualiti dan taraf kerjasama perdagangan dan pelaburan. Ketiga, menggalakkan kerjasama dalam bidang baharu agar dilaksanakan secara mendalam dan menyeluruh. Keempat, menjadikan ketersambungan dan kesalinghubungan lebih mudah dan cekap'” kata Ding.
“Presiden China, Xi Jinping pernah mengemukakan cadangan semasa Sidang Kemuncak Peringatan Ulang Tahun ke-30 Hubungan Dialog China-ASEAN pada November tahun 2021, iaitu memulakan pembinaan CAFTA versi 3.0 seawal mungkin yang dilihat sebagai hala tuju bagi usaha peningkatan pembangunan CAFTA ke tahap yang lebih tinggi,” tambah beliau.
Turut hadir dan menyampaikan ucapan, Naib Presiden Myanmar, Myint Swe, Naib Perdana Menteri Eksekutif Vietnam, Pham Gia Tuc, Naib Perdana Menteri Eksekutif Laos, Saleumxay Kommasith, dan Ketua Setiausaha ASEAN, Kao Kim Hourn.













Tinggalkan Balasan