IPOH, 22 Sept — Seorang lelaki Orang Asli maut dipercayai akibat diserang harimau ketika mencari rotan bersama-sama rakannya di kawasan Hutan Simpan Korbu berhampiran Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata Zamberi Angah, 42, ditemukan di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak kira-kira 200 meter dari lokasi dia dipercayai diserang.
Beliau berkata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerima aduan berhubung kejadian itu pada 4.30 petang dan operasi mencari mangsa dimulakan pada 6.30 petang melibatkan pelbagai agensi dan penduduk kampung.
“Mangsa ditemukan pada jam 6.58 petang dengan kesan tapak kaki harimau serta beberapa petunjuk lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mohd Zolkafly menasihatkan penduduk setempat supaya mengelak daripada memasuki kawasan hutan itu untuk sementara waktu.
Beliau juga meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan gambar mangsa bagi menghormati sensitiviti dan privasi keluarga mangsa.

















Tinggalkan Balasan