Profesional Kewangan Perlu Suai Diri Dengan Cabaran Geopolitik, AI Dan Iklim – Liew

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Profesional kewangan mesti menyesuaikan diri dengan landskap global yang berubah dengan pantas selain dipengaruhi perubahan geopolitik, cabaran berkaitan iklim dan kelestarian, kecerdasan buatan (AI) serta kebimbangan yang semakin meningkat terhadap isu kepercayaan.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata perubahan persekitaran global sejak beberapa tahun kebelakangan ini mewujudkan cabaran baharu bagi perniagaan dan profesional kewangan sekali gus menuntut mereka untuk berfikir semula bagaimana sistem dan struktur kewangan direka bentuk.

“Sekiranya anda merupakan ‘arkitek’ kepada sesebuah struktur kewangan, anda tidak boleh lari daripada geopolitik.

“Inilah masanya untuk juruaudit dan akauntan melengkapkan diri dengan pengetahuan geopolitik dan geoekonomi bagi mendepani cabaran yang akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Perkongsian Kepimpinan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) 2026.

Liew memberitahu, tahun-tahun mendatang akan berbeza berbanding tempoh sebelum 2020 memandangkan pandemik COVID-19 dan konflik geopolitik susulannya mengubah landskap global.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan untuk profesional kewangan memahami perkembangan geopolitik di seluruh dunia terutamanya ketika perniagaan berdepan dengan risiko yang semakin meningkat terhadap pelaburan, teknologi dan rantaian bekalan.

Menurutnya, daya tahan rantaian bekalan merupakan antara isu utama.

Beliau menambah perniagaan menganggap barangan akan bergerak secara automatik melalui kapal kontena tanpa perlu mempertimbangkan sumber bekalan mereka atau keperluan terhadap sumber alternatif bahan mentah serta tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku gangguan rantaian bekalan.

“Saya fikir ini soalan-soalan yang perlu ditanya oleh mereka yang berada dalam sistem kewangan,” kata Liew.

Mengenai isu iklim dan kelestarian, beliau berkata isu-isu tersebut tidak lagi boleh dielakkan oleh golongan akauntan sambil menambah bahawa profesion berkenaan perlu mempertimbangkan cara untuk mengukur dan menguruskannya.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan golongan akauntan dan pihak perniagaan perlu menyesuaikan diri serta membuat perubahan amalan mereka bagi memaksimumkan manfaat yang ditawarkan oleh AI.

Forum yang bertemakan “Kewangan Sebagai Arkitek: Menyelaraskan Dasar, Amalan dan Teknologi dalam Era AI” itu menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin kewangan, pakar teknologi serta pengamal industri untuk meneliti bagaimana AI dan data membina semula fungsi kewangan dan peranannya dalam memacu pertumbuhan perniagaan.

Forum tersebut akan meneliti bagaimana profesional kewangan dapat merapatkan jurang di antara teknologi dengan kepakaran manusia selain mengekalkan pertimbangan profesional, etika dan kepercayaan.