AS Akan Bina Dua Pangkalan Tentera Utama Di Greenland -Trump

NEW YORK, 22 Sept — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata Washington akan membina dua pangkalan tentera utama di Greenland di bawah perjanjian baharu dengan Denmark, dengan memberitahu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa perjanjian itu memberi AS “kawalan kekal” terhadap keselamatan wilayah Artik berkenaan, lapor Agensi Berita Anadolu (AA).

“Kami akan memulakan proses membangunkan kehadiran tentera yang besar di lokasi yang bersesuaian dengan serta-merta. Kami akan membina dua pangkalan tentera yang sangat besar,” kata Trump dalam ucapan pada Perhimpunan Agung PBB di New York pada Selasa.

 Trump berkata perjanjian yang dicapai dengan Kerajaan Denmark dan Greenland itu memberikan AS “kawalan kekal terhadap keselamatan dan semua keperluan lain” di wilayah itu.

 Beliau berkata pengaturan itu akan memberikan Washington “keupayaan penuh untuk melakukan apa yang diperlukan bagi mempertahankan benua Amerika, serta Eropah dan tempat lain.”

 “Tiada pihak lawan AS akan dibenarkan untuk menempatkan tentera di Greenland lagi atau membuat pelaburan sensitif di sana tanpa kelulusan bertulis daripada kami,” katanya.

 Trump berkata perjanjian itu akan ditandatangani pada lewat Selasa di luar persidangan Perhimpunan Agung PBB di New York. Beliau turut memuji Denmark dan Greenland, dengan berkata pihak terbabit “benar-benar membentuk hubungan erat” sepanjang rundingan.

 Greenland, wilayah berkerajaan sendiri dalam Kerajaan Denmark, menarik minat AS kerana kedudukannya yang strategik serta sumber mineralnya yang luas.

 Perjanjian itu dicapai selepas Trump berulang kali menyatakan hasratnya untuk mengambil alih Greenland atas faktor strategik dan sejarah, dengan merujuk kepada kepentingan serta kehadiran China dan Rusia yang semakin meningkat di rantau berkenaan.