LONDON, 29 Sept — Kedutaan Iran di London menolak sekeras-kerasnya spekulasi oleh beberapa individu dan media Britain yang cuba mengaitkan Iran dengan penahanan lima lelaki berhampiran pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) Fairford yang digunakan Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin sebagai respons terhadap dakwaan itu, kedutaan berkenaan berkata pihaknya “menolak secara mutlak dan mengutuk sekeras-kerasnya spekulasi tidak berasas serta berniat jahat yang disiarkan baru-baru ini oleh beberapa individu dan media Britain yang cuba mengaitkan Iran dengan penahanan lima lelaki di sekitar pangkalan RAF Fairford.”
“Penyebaran spekulasi rekaan seumpama itu, khususnya susulan tindakan pencerobohan jenayah yang dilakukan Amerika Syarikat dan rejim Israel terhadap rakyat Iran, tidak akan membawa sebarang tujuan selain memarakkan propaganda Iranofobia di United Kingdom (UK).
“Republik Islam Iran berhak mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya, jika perlu, bagi melindungi hak dan kepentingan negara serta rakyatnya sebagai respons terhadap naratif media yang mengelirukan dan memudaratkan,” menurut kedutaan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas lima lelaki ditahan berhampiran pangkalan RAF Fairford di Gloucestershire kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan bahan letupan dan membuat persediaan untuk melakukan tindakan keganasan, selepas tiga kenderaan mencurigakan dilaporkan berada berhampiran pangkalan udara berkenaan.













Tinggalkan Balasan