ISKANDAR PUTERI, 29 Sept — Kerjasama produksi antara syarikat Malaysia dengan rakan industri dari Australia dan Korea Selatan bernilai keseluruhan USD22 juta (kira-kira RM89.7 juta) akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun akan datang.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerjasama diterajui OMG Studios itu melibatkan Madman Entertainment dari Australia dan Greenpatch Studio dari Korea Selatan.
Beliau berkata dua projek utama akan dibangunkan, iaitu penerbitan filem dan televisyen Malaysia-Australia bernilai USD10 juta serta filem cereka Malaysia-Korea bernilai USD12 juta.
“Untuk dua tahun akan datang, mereka akan membangunkan dan menerbitkan projek dengan nilai gabungan USD22 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan KL20 @ Johor 2026: The Orange Economy Chapter – Creativity Reimagined di Iskandar Malaysia Studios (IMS), di sini hari ini.
Akmal Nasrullah berkata kerjasama itu dijangka membuka lebih banyak peluang kepada bakat, vendor, studio dan pemilik harta intelek (IP) tempatan untuk terlibat dalam produksi antarabangsa.
Kerjasama itu juga berpotensi mengukuhkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai hab serantau bagi kandungan antarabangsa, produksi maya, kecerdasan buatan (AI) generatif dan teknologi kreatif.
Beliau berkata Johor mempunyai kelebihan dari segi kedudukan berhampiran Singapura, selain memiliki infrastruktur industri dan digital serta rangkaian serantau yang kukuh.
Industri budaya dan kreatif menyumbang kira-kira 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjana nilai ditambah kasar RM130.7 bilion pada 2024.
Dalam ucapannya, Akmal Nasrullah berkata Malaysia perlu beralih daripada sekadar menghasilkan kandungan kreatif kepada memiliki IP yang boleh dilesenkan, diedarkan, diadaptasi dan dikomersialkan.
Beliau berkata Malaysia perlu membina pemilikan terhadap watak, cerita, format, teknologi dan jenama yang mampu menjana nilai secara berterusan.
Kejayaan karya tempatan seperti Upin & Ipin, Mechamato, Ejen Ali dan BoBoiBoy membuktikan idea dari Malaysia mampu mencipta nilai melalui kandungan, pelesenan, barangan dagangan dan peluasan pasaran.

















Tinggalkan Balasan