UM Sertai Kelompok 200 Teratas Penarafan Universiti Dunia 2027, Pertama Dalam Sejarah Malaysia

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Universiti tertua di Malaysia, Universiti Malaya (UM), berjaya menyertai kelompok 200 Teratas dunia dalam Penarafan Universiti Dunia (WUR) Times Higher Education (THE) 2027 apabila melonjak ke kedudukan ke-194 sekali gus menjadi universiti pertama di negara ini mencapai pencapaian itu.

Pencapaian bersejarah itu menandakan peningkatan signifikan dalam kedudukan global UM, dengan universiti itu melonjakkan kedudukannya daripada kelompok 351 – 400 dalam penarafan itu pada 2023 kepada kedudukan ke-194 bagi edisi 2027.

Daripada 2,297 universiti yang dinilai di seluruh dunia bagi edisi 2027, UM kini berada dalam kalangan kira-kira 8.5 peratus teratas di peringkat global, selain mengekalkan kedudukannya sebagai universiti di tangga tertinggi di Malaysia dalam WUR THE.

Naib Canselor UM Datuk Seri Profesor Dr Noor Azuan Abu Osman berkata pencapaian itu mencerminkan kekuatan kolektif universiti berkenaan sekali gus menandakan kehadiran Malaysia yang lebih kukuh dalam pendidikan tinggi global.

“Kejayaaan menembusi kelompok 200 Terbaik dunia bukanlah garis penamat, sebaliknya ia satu pernyataan niat. Ia menunjukkan bahawa Universiti Malaya melangkah dengan keyakinan yang lebih tinggi, hala tuju yang lebih jelas dan kerelevanan di peringkat global yang lebih kukuh.

“Pencapaian ini adalah milik seluruh warga universiti dan ia menyampaikan mesej yang jelas bahawa universiti di Malaysia mampu berdiri seiring dengan institusi terkemuka dunia apabila cita-cita disusuli dengan disiplin, bakat serta matlamat bersama,” kata Noor Azuan dalam satu kenyataan kepada Bernama pada Rabu.

Beliau berkata UM bukan sebuah universiti yang dibina untuk mengejar penarafan semata-mata.

“Kami sedang membina sebuah universiti yang tidak boleh diketepikan oleh dunia — yang menghasilkan idea untuk mengangkat martabat kemanusiaan, penyelidikan yang menggerakkan masyarakat dan siswazah yang bersedia memimpin yang mana masa depan itu sedang dibentuk. Pengiktirafan ini mesti diterjemahkan kepada tanggungjawab.

Kami akan menggunakan momentum ini untuk berusaha lebih gigih, mencari sasaran lebih tinggi dan memastikan universiti unggul Malaysia ini terus mencipta nilai untuk negara serta melakar nama di persada dunia,” katanya.

Naib Canselor itu turut menzahirkan penghargaan kepada Canselor, Pro-Canselor dan Ahli Lembaga Pengarah atas kepimpinan dan sokongan berterusan, serta kepada kerajaan dan warga pendidikan tinggi Malaysia dalam memajukan aspirasi pendidikan tinggi negara di peringkat antarabangsa.

Beliau juga mendedikasikan pencapaian berkenaan kepada sumbangan dan dedikasi bersama staf akademik serta profesional, penyelidik, pelajar, alumni dan rakan kerjasama UM di Malaysia mahupun di seluruh dunia.

WUR THE merupakan sistem penarafan universiti berteraskan penyelidikan yang mengukur prestasi universiti menerusi lima teras utama iaitu Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan, Kualiti Penyelidikan, Industri dan Pandangan Antarabangsa.

Antara kekuatan utama UM bagi penarafan 2027 termasuk Pandangan Antarabangsa dan Kualiti Penyelidikan, mencerminkan rangkaian akademik global universiti yang semakin meluas, komuniti antarabangsa serta pengaruh penyelidikan yang kian meningkat.

Prestasi UM dalam Pandangan Antarabangsa mencerminkan persekitaran akademik global yang semakin berkembang dan kerjasama antarabangsa yang meluas, memandangkan universiti itu terus menarik minat pelajar, penyelidik dan cendekiawan dari seluruh dunia.

Sementara itu, prestasi dalam Kualiti Penyelidikan menegaskan jangkauan dan pengaruh penyelidikan yang dihasilkan oleh warga akademiknya, termasuk impak petikan serta kekuatan keseluruhan hasil penyelidikan universiti berkenaan.

Bersama prestasi dalam teras Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan dan Industri, keputusan berkenaan membuktikan perkembangan UM sebagai universiti penyelidikan komprehensif dengan kehadiran yang semakin kukuh di peringkat global.

Melangkah ke usia 121 tahun, pengiktirafan global terkini itu memperkukuh impian Universiti Malaya untuk memantapkan lagi kedudukan Malaysia di persada pendidikan tinggi antarabangsa, sambil  memajukan visinya untuk membawa perubahan bermakna kepada dunia dan kemanusiaan.