KULIM, 10 Okt — Peruntukan RM490 juta kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menerusi Belanjawan 2027 akan dimanfaatkan untuk menambah anggota serta memperkukuh penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan kawalan keselamatan sempadan negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata peningkatan peruntukan itu berbanding RM20 juta pada tahun lepas mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan peranan AKPS sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab terhadap kawalan dan perlindungan sempadan negara.
Beliau berkata peruntukan berkenaan penting bagi meningkatkan keupayaan operasi AKPS, seiring dengan skop tanggungjawab agensi itu yang semakin berkembang.
“Maksudnya, dengan peruntukan sebesar ini, pertama, adalah soal penjawatan kerana sekarang ini ia beroperasi di pintu masuk dengan kekurangan anggota (under strength), sedangkan tugasan semakin bertambah. Jadi, dengan peruntukan itu, kami boleh menambah keupayaan dari sudut sumber manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Wacana Nasional Surah Al-Hujurat: Teras Keharmonian dan Keselamatan Negara di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata AKPS turut memerlukan kelengkapan khusus dan peralatan berteknologi terkini, termasuk sistem kamera litar tertutup (CCTV), bagi memperkukuh kawalan di pintu masuk sempadan negara.
Mengulas peruntukan keseluruhan RM22 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Belanjawan 2027, beliau berkata kebajikan anggota pasukan beruniform di bawah kementerian itu terus menjadi keutamaan.
Antara langkah yang diberi perhatian termasuk penyediaan kuarters yang lebih selesa, penaiktarafan kemudahan sedia ada serta penambahbaikan prasarana tempat kerja.
Beliau berkata KDN juga akan mempergiat penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem perkhidmatan agensi di bawah kementerian itu bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan dan kualiti penyampaian perkhidmatan.
Menurutnya KDN telah menetapkan hala tuju penggunaan AI sejak tiga tahun lepas menerusi pendekatan “AI for KDN, KDN for AI”, selaras dengan kepentingan teknologi itu dalam aspek keselamatan dan pengurusan perkhidmatan.













Tinggalkan Balasan