KUALA LUMPUR, 14 Okt — Perniagaan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pertengahan bakal menerima manfaat daripada jumlah rekod jaminan pinjaman dan pembiayaan sebanyak RM57 bilion di bawah Belanjawan 2027, kata ahli ekonomi dan pakar dasar Profesor Geoffrey Williams.
Jaminan pinjaman dan pembiayaan di bawah Belanjawan 2027 meningkat berbanding RM50 bilion pada 2026.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata pakej itu merangkumi pembiayaan mikro sebanyak RM6.6 bilion melalui institusi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional dan Bank Simpanan Nasional selain jaminan pembiayaan sebanyak RM32 bilion menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd.
Williams memberitahu kerajaan MADANI merangka Belanjawan 2027 berasaskan tiga tonggak utama iaitu menambah baik akses kepada pembiayaan, mengurangkan kos perniagaan dan meluaskan peluang pasaran.
Beliau memaklumkan kadar cukai pendapatan korporat untuk PMKS dikurangkan sehingga dua mata peratusan yang berpotensi memberi penjimatan sehingga RM6,000 setahun kepada kira-kira 300,000 perniagaan.
Langkah lain termasuk diskaun sewaan 50 peratus sepanjang 2027 bagi peniaga kecil yang menyewa premis daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta perolehan kerajaan yang dipermudah menerusi lantikan terus sehingga RM200,000 untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan yang layak.
Beliau berkata sebanyak RM30 juta turut diperuntukkan bagi membantu 4,000 PMKS untuk mengguna pakai teknologi kecerdasan buatan (AI) dan automasi.
“Inisiatif seperti geran padanan bagi pensijilan halal kali pertama dan peluasan peluang perolehan bernilai RM7.5 bilion untuk kontraktor Bumiputera G1 hingga G4 mencerminkan pendekatan menyeluruh ‘keseluruhan kerajaan’ yang memastikan tiada usahawan tercicir.
“Belanjawan 2027 meletakkan asas yang kukuh dan berdaya tahan bagi masa depan ekonomi Malaysia.
“Ia menggabungkan peruntukan besar sebanyak RM1.028 bilion kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), pembiayaan eksport bersasar melalui Bank Pembangunan Malaysia Bhd dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
“Selain itu, penekanan terhadap perdagangan digital yang adil menerusi Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang yang dicadangkan,” tambahnya.














Tinggalkan Balasan