Baki Penerima Bantuan Khas Pemandu Akan Dibayar Melalui EFT – Loke

GEORGE TOWN, 17 Okt — Baki penerima Bantuan Khas Kewangan RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang layak di seluruh negara akan menerima bantuan itu secara terus ke akaun bank masing-masing menerusi Pemindahan Dana Elektronik (EFT).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penyaluran menerusi kaedah itu akan dilaksanakan pada fasa seterusnya selepas pemberian secara fizikal kepada pemandu yang layak di beberapa zon dalam fasa pertama.

Beliau berkata bagi fasa pertama, bantuan akan diserahkan secara langsung kepada penerima yang layak di beberapa zon, dengan Pulau Pinang menjadi lokasi majlis kedua selepas pelancarannya di Putrajaya pada 14 Okt lepas.

“Untuk majlis yang kedua, kita amat gembira kerana berupaya menghimpunkan sebanyak 700 pemandu teksi dan kereta sewa di Pulau Pinang, yang terpilih sebagai wakil simbolik untuk menerima bantuan ini secara langsung. 

“Semua bantuan ini akan diserahkan kepada mereka yang sah dan layak sebelum Deepavali,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Dewan Sri Pinang, di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan pemandu supaya memastikan syarat kelayakan dipenuhi bagi melancarkan proses saringan data penerima.

Antara syarat utama ialah mempunyai Kad Pemandu serta lesen atau permit kenderaan (VP) yang aktif, selain Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang masih sah.

Loke turut menggesa pemandu supaya sentiasa peka terhadap hebahan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak berhubung maklumat serta proses pengesahan yang diperlukan.

Beliau berkata penyelarasan antara agensi di bawah Kementerian Pengangkutan penting bagi memastikan proses saringan data penerima dilaksanakan secara telus dan adil.

“Saya tahu, nilai RM1,000 ini mungkin tidak dapat menyelesaikan semua masalah atau menampung kos penyelenggaraan kenderaan sepenuhnya, namun saya amat berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban belanja dapur, membantu menukar tayar yang haus, atau mengisi tangki minyak untuk anda terus keluar mencari rezeki,” katanya. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Okt lepas mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan secara sekali beri sebanyak RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah sebagai satu daripada inisiatif Belanjawan 2027.