SIP PERKESO Jambatan Kerjaya, Responsif Kepada Keperluan Semasa

KOTA BHARU, 18 Okt — Membantu individu kembali bekerja memerlukan sokongan yang bersesuaian dengan cabaran semasa dan sistem perlindungan sosial yang tangkas serta relevan bagi memulihkan keyakinan, menstabilkan kehidupan dan membina semula masa depan mereka.

Sejajar dengan keperluan itu, Skim Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terus memainkan peranan sebagai jambatan antara Orang Berinsurans (OB) atau pencarum dengan majikan, selain membantu mempercepatkan proses pencarum kembali ke alam pekerjaan melalui pendekatan intervensi awal serta perkhidmatan pekerjaan yang aktif. 

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO Azirruan Arifin berkata bagi tempoh Januari sehingga 14 Ogos lepas, sebanyak 117,733 pencari kerja berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor.

Beliau berkata keberkesanan itu disokong melalui pendekatan yang menyeluruh, antaranya kaunseling kerjaya, carian dan padanan pekerjaan, pendaftaran serta pemadanan melalui MYFutureJobs, sesi temu duga terbuka, karnival kerjaya dan bimbingan penyediaan resume. 

“Pendekatan ini membolehkan pencarum mendapat akses yang lebih pantas kepada peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan pengalaman, kemahiran dan keperluan pasaran buruh.

“Bagi pencarum yang memerlukan peningkatan kemahiran, SIP turut menyediakan sokongan latihan melalui program pasaran buruh aktif, termasuk latihan semula kemahiran (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Azirruan berkata antara cabaran utama dalam membantu pekerja yang hilang pekerjaan ialah memastikan tempoh peralihan kerjaya yang singkat, khususnya apabila berlaku ketidakpadanan antara kemahiran dan pengalaman yang dimiliki dengan keperluan semasa industri.

“Bagi menangani cabaran itu, PERKESO menyediakan sokongan menyeluruh yang merangkumi bantuan kewangan sementara, kaunseling kerjaya, padanan pekerjaan, bimbingan penyediaan resume dan temu duga serta program upskilling dan reskilling bagi meningkatkan kebolehpasaran pencarum.

Sementara itu, bagi penerima manfaat itu, Hamdi Ismail, 54, berkata kehilangan pekerjaan bukan pengakhiran kepada perjalanan hidup, sebaliknya caruman yang dibuat ketika bekerja membolehkannya menerima bantuan menerusi SIP PERKESO.

“Saya pernah bekerja sebagai kerani di sebuah bank sejak 1993 sebelum mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya itu pada November 2018 melalui Skim Pemisahan Sukarela (VSS) bagi menceburi bidang perniagaan.

“Saya ketika ini menjual air minuman ‘AG Mango Float’ dan ‘Sosej Bakar’. Alhamdulillah, rezeki dalam perniagaan ini dapat membantu saya menampung perbelanjaan harian keluarga,” katanya yang berniaga di Kampung Laut, Tumpat.

Hamdi berkata bantuan menerusi SIP PERKESO menjadi antara sokongan yang diterimanya ketika melalui fasa perubahan kerjaya, sekali gus membuka ruang untuk beliau merancang langkah seterusnya dalam kehidupan.

“Proses menghasilkan minuman ‘AG Mango Float’ ini tidaklah terlalu sukar tetapi pemilihan buah mangga juga memainkan peranan penting untuk mendapatkan air yang berkualiti,” katanya yang menjual air itu bermula pada harga RM2 hingga RM3.50 segelas mengikut saiz bekas.

Hamdi berkata manfaat caruman dengan PERKESO semasa bekerja dahulu sedikit sebanyak telah membantu untuk mengembangkan perniagaan dan berharap lebih ramai lagi rakyat akan mencarum dengan PERKESO demi kelangsungan hidup pada masa hadapan.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan turut mengumumkan PERKESO menambah baik faedah SIP bagi membolehkan pencarum menerima jumlah keseluruhan sokongan dan perlindungan sehingga RM25,000 seorang bermula 1 Okt lepas.