HONG KONG, 19 Okt — China pada Isnin mengumumkan ekonominya berkembang sebanyak 4.5 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas, sekali gus semakin menghampiri sasaran pertumbuhan tahunan rasmi negara itu menjelang akhir tahun, lapor Associated Press (AP).
Data rasmi yang lebih baik daripada jangkaan itu menunjukkan kadar pertumbuhan ekonomi meningkat kepada 4.5 peratus daripada 4.3 peratus yang dicatatkan pada suku kedua (April hingga Jun) berbanding tempoh sama tahun lepas. Kadar 4.3 peratus itu merupakan pertumbuhan paling perlahan dalam tempoh lebih tiga tahun.
Bagi keseluruhan tahun ini, kepimpinan China menetapkan sasaran pertumbuhan antara 4.5 hingga 5 peratus, berbanding pertumbuhan 5 peratus yang dicatatkan tahun lepas.
Awal bulan ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi China bagi 2026 kepada 4.5 peratus, iaitu hanya mencapai had bawah sasaran yang ditetapkan Beijing.
Permintaan domestik China semakin lemah akibat kemerosotan pasaran hartanah yang berlarutan selama beberapa tahun, sekali gus memberikan tekanan terhadap kekayaan dan mendorong peningkatan simpanan isi rumah.
Bagaimanapun, eksport yang kukuh kekal sebagai antara beberapa perkembangan positif ekonomi China, dengan negara itu berada pada landasan untuk mengatasi rekod lebihan perdagangan global sebanyak US$1.2 trilion yang dicatatkan tahun lepas. China merekodkan pertumbuhan eksport 36 peratus pada bulan lepas serta lebihan perdagangan sebanyak US$938 bilion bagi tempoh Januari hingga September.
Kebanyakan rakan dagang China bimbang industri domestik dan ekonomi masing-masing semakin terancam akibat peningkatan mendadak import barangan buatan China yang lebih murah.











Tinggalkan Balasan