KUALA LUMPUR, 28 Okt — Saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya penjawat awam tidak menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi urusan rasmi wajar dipandang serius, terutama risiko pendedahan data lokasi yang boleh mengancam keselamatan pengguna.
Ketua Pegawai Teknologi dan Pembimbing Kecerdasan Buatan Saiffil Fariz Mohamad Yusuf berkata pengguna perlu lebih berhati-hati ketika menggunakan aplikasi navigasi kerana data perjalanan yang dikumpulkan dalam tempoh panjang berpotensi mendedahkan corak pergerakan dan rutin harian seseorang.
Berkecimpung dalam industri teknologi sejak 1990-an dan berpengalaman dalam pembangunan pelayan serta laman web, beliau berkata maklumat berkenaan berpotensi disalahgunakan untuk tujuan risikan atau jenayah sekiranya jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Apabila Perdana Menteri kita sendiri telah memohon untuk kita tidak menggunakan aplikasi ini, bermakna mungkin beliau telah mengetahui sesuatu yang tidak kita ketahui sebagai rakyat biasa,” katanya ketika ditemu bual menerusi panggilan video bagi segmen “Waze Di Tangan, Bahaya Di Hadapan” dalam program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV, hari ini.
Sebelum ini, Anwar berkata kerajaan sedang meneliti langkah berkaitan larangan penggunaan Waze dalam kalangan pegawai kerajaan atas pertimbangan keselamatan dan kedaulatan negara.
Beliau berkata langkah itu bukan bertujuan mengharamkan penggunaan Waze secara menyeluruh, sebaliknya mengambil kira risiko pemantauan pergerakan pegawai kerajaan, khususnya mereka yang mengendalikan urusan keselamatan negara.
Mengulas lanjut, Saiffil Fariz berkata risiko penggunaan aplikasi navigasi bukan sahaja melibatkan keselamatan digital, malah boleh menjejaskan keselamatan fizikal sekiranya maklumat lokasi pengguna diketahui pihak yang berniat jahat.
Beliau berkata penggunaan aplikasi yang sama dalam tempoh panjang boleh menghasilkan rekod perjalanan yang mendedahkan rutin harian pengguna, termasuk perjalanan ke tempat kerja, urusan mengambil anak dari sekolah serta kunjungan ke kampung halaman.
“Maka jika berlaku ancaman atau serangan yang berbahaya kepada kita, ia bukan sahaja boleh berlaku dengan apa yang kita boleh sedar melalui serangan-serangan sebagai contoh balistik , misil dan sebagainya, tetapi yang lebih berbahaya daripada itu adalah serangan-serangan yang melibatkan domestik, daripada risikan, penjenayah yang boleh sampai ke depan rumah kita, di pejabat kita dan sebagainya.
“Itu sangat berbahaya dan saya rasa semua orang perlu membuka mata sebenarnya tentang isu keselamatan ini dan tidak meremehkan apa sebenarnya yang boleh dibuat dengan data yang telah pun didedahkan oleh kita sendiri sebagai pengguna aplikasi,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menyokong usaha kerajaan mengehadkan penggunaan aplikasi yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan data, selain menggesa orang ramai supaya lebih peka terhadap risiko pendedahan maklumat peribadi ketika menggunakan aplikasi digital.














Tinggalkan Balasan