PUTRAJAYA, 28 Okt — Malaysia perlu terus menguasai ilmu dan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) serta pengkomputeran kuantum bagi mengelakkan negara ketinggalan pada peringkat antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata penguasaan teknologi penting bagi memastikan rakyat negara ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan global, namun kemajuan itu perlu berteraskan nilai agama dan budaya supaya tidak kehilangan jati diri.
“Kalau tidak kita kuasai, orang akan menelan kita. Itu prinsip dia. Dulu kita kalah kerana mereka kuasai teknologi dan kita tidak.
“Tetapi apa bezanya? Menggapai di langit itu tidak mungkin kita terima tanpa mengakar ke bumi. Apa dia mengakar ke bumi? Akidah, akhlak, nilai, budaya dan sastera kita,” kata beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana di sini, yang menampilkan pendakwah terkenal dari Indonesia Ustaz Dr Abdul Somad Batubara sebagai tetamu.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, dan Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Westar Group Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim.
Perdana Menteri berkata tradisi ilmu perlu diperkukuh bagi menangani kelemahan segelintir individu, khususnya kecenderungan membangkitkan pelbagai permasalahan tanpa menawarkan penyelesaian berasaskan ilmu dan pemikiran yang rasional.
Beliau berkata kekurangan kefahaman mendalam dalam pelbagai bidang, termasuk agama boleh mencetuskan ketegangan apabila sesuatu perkara dihukum tanpa penelitian dan penguasaan ilmu yang mencukupi.
“Kalau tidak, sekarang ini pun ustaz banyak masalah. Belajar agama sedikit terus hukum dan jadi takfiri, terus memurtadkan orang dan memunafikkan orang,” kata beliau.
Sehubungan dengan itu, Anwar berkata kerajaan terus memberikan perhatian kepada usaha memperkukuh institusi pendidikan agama, termasuk pengajian tradisional serta penghayatan khazanah ilmu Islam atau turath.
“Kalau (program) cendekiawan pimpinan utama termasuk libatkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, kita adakan bulanan yang disebut Forum Ilmuwan MADANI.
“Forum Ilmuwan ini ditaja oleh konglomerat dan kita panggil dan kita bicara hal-hal ini. Tetapi, kerana kita yakin bahawa tanpa persiapan ilmu dan kefahaman, termasuk dalam dakwah, dalam pengajian, dalam hukum, itu akan menimbulkan satu ketegangan,” kata beliau.
Penganjuran majlis ilmu MADANI di kediaman rasmi Perdana Menteri itu adalah antara usaha memupuk masyarakat yang mencintai ilmu serta memahami kepentingan adab dan akhlak.
Majlis berkenaan diilhamkan Anwar selepas beliau memegang jawatan Perdana Menteri pada 24 Nov 2022, dan kini turut dianjurkan di seluruh negara.
















Tinggalkan Balasan