HAMILTON, 30 Okt — Perdana Menteri Kanada Mark Carney pada Khamis melancarkan “The Plan for a Stronger Canada”, strategi keselamatan negara pertama negara itu dalam tempoh lebih dua dekad, menurut kenyataan pejabatnya, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pelan itu mencerminkan “perubahan besar dalam realiti global”, termasuk kelemahan sistem antarabangsa berasaskan peraturan dan ancaman baharu terhadap kedaulatan Kanada seperti serangan siber serta penggunaan perjanjian perdagangan sebagai senjata, menurut kenyataan itu.
Pelan berkenaan menggariskan lima keutamaan iaitu memperkukuh keselamatan dan daya tahan ekonomi, melaksanakan “dasar luar yang berdisiplin” dengan mempelbagaikan kerjasama, membina semula Angkatan Tentera Kanada, melindungi rakyat daripada ancaman jenayah dan keselamatan negara serta memodenkan keupayaan perisikan.
Dalam aspek pertahanan, kerajaan memaklumkan bahawa Kanada akan memperkukuh industri pertahanan domestik, mempercepat proses perolehan dan meningkatkan keselamatan di Artik, di samping menyumbang kepada kestabilan di Indo-Pasifik, Asia Barat dan rantau lain.
Pelan itu turut menggariskan komitmen untuk mempergiat usaha menangani campur tangan asing, pengintipan, ekstremisme ganas dan jenayah terancang rentas negara termasuk sabotaj, pemerasan, pengubahan wang haram serta tindakan mengelak sekatan.
Kanada juga berikrar memperkukuh keupayaan perisikan negara secara bebas, mempererat kerjasama perisikan dengan rakan antarabangsa serta mengemas kini peruntukan undang-undang berkaitan “sambil melindungi hak rakyat Kanada”.
“Dalam dunia yang berubah dengan pantas, semakin berbahaya dan semakin berpecah-belah, Kanada mesti mempunyai keupayaan untuk mempertahankan kedaulatan, daya tahan menghadapi ancaman baharu serta keazaman menentukan masa depan sendiri,” kata Carney.
Menteri Pertahanan David McGuinty berkata strategi itu bertujuan membina Kanada yang “mampu berdikari, bertindak dengan yakin serta kekal sebagai sekutu dan rakan kerjasama yang berkeupayaan serta boleh dipercayai”.
Sementara itu, Menteri Luar Anita Anand berkata keselamatan dan kemakmuran Kanada “semakin dipengaruhi oleh perkembangan di luar sempadan negara”.









Tinggalkan Balasan