Pelabur Asing Kembali Jadi Pembeli Bersih Dengan Aliran Masuk Bersih US$323.1 Juta

KUALA LUMPUR, 2 Nov — Institusi asing kembali melakukan pembelian bersih di Bursa Malaysia, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak US$323.1 juta, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).

Dalam laporan aliran dana mingguannya pada minggu berakhir 30 Oktober, MBSB IB memaklumkan institusi asing merupakan pembeli bersih pada empat daripada lima hari dagangan pada minggu itu, dengan aliran masuk tertinggi dicatatkan pada Rabu sebanyak RM117.4 juta, diikuti Selasa (RM117.2 juta), Jumaat (RM68.6 juta) dan Khamis (RM32.3 juta).

Menurutnya, satu-satunya aliran keluar bersih dicatatkan pada Isnin sebanyak RM17.3 juta.

Bank pelaburan itu memaklumkan tiga sektor dengan aliran masuk bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan sebanyak RM437.1 juta, pengangkutan dan logistik (RM169.5 juta) serta pembinaan (RM73.4 juta).

“Tiga sektor utama dengan aliran keluar asing bersih ialah perladangan (-RM163.2 juta), teknologi (-RM110.9 juta) serta produk perindustrian dan perkhidmatan (-RM102.4 juta),” menurutnya.

Begitu juga, pelabur runcit meneruskan trend pembelian bersih untuk minggu ke-10 berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM134.6 juta.

MBSB IB memaklumkan institusi tempatan kembali mencatatkan jualan bersih selepas merekodkan aliran masuk bersih pada minggu sebelumnya, dengan aliran keluar bersih berjumlah RM457.7 juta.

Menurutnya, purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatatkan peningkatan secara menyeluruh, dengan pelabur runcit meningkat sebanyak 3.7 peratus, institusi asing naik 8.9 peratus manakala institusi tempatan menurun sebanyak 6.4 peratus.