KUALA LUMPUR, 2 Nov — TSH Resources Bhd telah menawarkan diri secara sukarela untuk mengadakan libat urus dengan panel penilai kerajaan Singapura bagi menilai operasi, hubungan korporat, serta rantaian bekalannya berhubung dengan kebakaran di Indonesia yang telah menyumbang kepada jerebu rentas sempadan.
Langkah berkenaan adalah susulan kepada notis dikeluarkan oleh Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura kepada anak-anak syarikat kumpulan itu yang diperbadankan di Singapura, iaitu TSH Oversea Pte Ltd dan TSH Global Plantation Pte Ltd, di bawah Seksyen 10(1) Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014.
Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat perladangan itu menyatakan bahawa ia telah menulis surat kepada NEA bagi mengesahkan penyertaan serta komitmennya untuk bekerjasama dengan pihak penilai dalam menjalankan penilaian tersebut, selaras dengan undang-undang dan keperluan kawal selia yang berkenaan, sebagaimana diarahkan oleh NEA.
“TSH berkongsi kebimbangan kerajaan mengenai kesan kebakaran dan jerebu tersebut, serta mengalu-alukan peluang untuk libat urus secara membina dengan pihak berkuasa berkaitan dan penilai bebas. Justeru, TSH terus memberikan kerjasama sepenuhnya dan secara telus kepada pihak berkuasa, “ menurut kenyataan itu.
Syarikat itu akan memberi perkembangan selanjutnya, sekiranya terdapat perkembangan penting berhubung perkara tersebut, menurut kenyataan TSH itu.













Tinggalkan Balasan