Belum Ada Pertambahan Ahli Parlimen Meterai CSA Dengan Kerajaan – Fadillah

PUTRAJAYA, 3 Nov — Belum ada pertambahan Ahli Parlimen pembangkang yang memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan MADANI setakat ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata jumlah Ahli Parlimen yang menandatangani perjanjian berkenaan kekal 13 orang selepas kumpulan itu berbuat demikian pada Khamis lepas. 

“Belum ada,” katanya ringkas kepada pemberita semasa ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekohidrologi dan Daya Tahan Air (ICEWR 2026) di sini hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian semasa ditanya jika terdapat pertambahan Ahli Parlimen yang menyertai perjanjian itu.

Pada 29 Okt, Kerajaan MADANI menandatangani CSA dengan enam Ahli Parlimen Bersatu yang diketuai Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tujuh Ahli Parlimen lain termasuk Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain komitmen untuk menyokong kelulusan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027), CSA itu turut menetapkan sokongan terhadap agenda reformasi institusi yang ingin dibentangkan kerajaan.

Ia termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum dua penggal serta pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.