KUALA LUMPUR, 3 Nov — Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan melancarkan Buku Kerangka Kelayakan dan Piawaian Pendidikan Penjaga Warga Emas, satu inisiatif bagi memperkukuh profesionalisme tenaga penjaga warga emas di Malaysia.
Buku yang majlis pelancarannya berlangsung di Perpustakaan Perubatan T.J. Danaraj, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) pada 30 Okt lepas itu, memperkenalkan kerangka kelayakan pendidikan merangkumi lapan tahap bagi menyediakan laluan kerjaya lebih jelas dalam sektor penjagaan negara.
UM dalam kenyataan hari ini memaklumkan penerbitan buku berkenaan merupakan hasil kerjasama Fakulti Perubatan dan Fakulti Kejururawatan universiti itu dengan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).
Menurut kenyataan itu, kerangka yang dibangunkan berteraskan prinsip Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) membolehkan program pendidikan penjaga warga emas dilaksanakan secara sistematik bermula daripada peringkat asas hingga pengajian tertinggi.
“Ia turut menyediakan panduan kepada institusi pendidikan tinggi, penyedia latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri serta agensi berkaitan untuk membangunkan program pendidikan yang berstruktur dan berasaskan kompetensi, sekali gus menyediakan laluan perkembangan kerjaya lebih jelas kepada tenaga penjaga,” menurut UM.
Sementara itu, Yang Dipertua NCWO Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata pembangunan tenaga penjaga terlatih bukan sahaja penting bagi menjamin kualiti penjagaan, malah memberi impak positif terhadap penyertaan wanita dalam pasaran kerja.
“Tanggungjawab penjagaan yang sering dipikul oleh wanita boleh menyebabkan sebahagian mereka terpaksa meninggalkan pekerjaan untuk menjaga anak atau ibu bapa yang berusia.
“Dengan adanya tenaga penjaga terlatih dan profesional, beban penjagaan dapat dikurangkan, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor penjagaan yang semakin berkembang,” katanya.
Beliau turut menekankan aspek kebajikan penjaga, termasuk sokongan kesihatan mental dan penguasaan kemahiran yang mencukupi bagi mengurangkan risiko keletihan melampau.
Sharifah Hapsah berkata usaha meningkatkan kualiti hidup warga emas memerlukan penglibatan bersama kerajaan, keluarga, pertubuhan bukan kerajaan, industri dan institusi akademik bagi membangunkan ekosistem penjagaan yang lebih mampan.
Sementara itu, UM memaklumkan inisiatif berkenaan signifikan dalam menghadapi perubahan demografi negara apabila 8.0 peratus penduduk Malaysia berumur 65 tahun dan ke atas pada 2025, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap tenaga penjaga yang terlatih dan kompeten.
Pembangunan piawaian ini turut menyokong Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026-2030, khususnya Teras Strategik 2: Kompetensi dan Laluan Kerjaya yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
















Tinggalkan Balasan