JOHOR BAHRU, 4 Nov — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya mengekalkan kedudukan ke-25 dalam “QS World University Rankings: Asia 2027”, dengan peningkatan skor keseluruhan kepada 92.4.
UTM dalam kenyataan memaklumkan pencapaian itu juga, menyaksikan universiti berkenaan meraih skor penuh 100 bagi tiga indikator penilaian iaitu pelajar antarabangsa, pelajar pertukaran masuk dan pelajar pertukaran keluar, selain mencatatkan peningkatan dalam sembilan daripada 11 indikator dinilai.
Universiti itu turut mencatatkan skor melebihi 97 bagi empat indikator lain iaitu rangkaian penyelidikan antarabangsa dengan skor 99.8, staf berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) (99.1), reputasi akademik (98.3) dan reputasi majikan (97.1).
Naib Canselor UTM Prof Ts Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata kejayaan itu, mencerminkan perkembangan positif universiti dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin kompetitif, di samping momentum kemajuan berterusan.
Beliau berkata pencapaian itu merupakan hasil komitmen seluruh warga UTM termasuk kakitangan, mahasiswa, alumni dan rakan strategik yang sentiasa memberikan sokongan.
“Sebagai universiti yang berteraskan kejuruteraan dan teknologi, matlamat kami adalah untuk menterjemahkan hasil penyelidikan kepada penyelesaian lestari, yang memberi manfaat kepada industri serta kesejahteraan manusia,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, UTM turut memperkukuh pengiktirafan dalam kalangan ahli akademik dan majikan pada peringkat antarabangsa, apabila skor reputasi akademik meningkat daripada 97.4 kepada 98.3 manakala reputasi majikan mencatatkan skor 97.1, yang menyumbang separuh daripada penilaian QS Asia.
Dalam aspek penyelidikan, universiti mencatatkan peningkatan dari segi produktiviti penerbitan dan impak hasil penyelidikan, apabila skor penerbitan bagi setiap staf akademik meningkat daripada 69.9 kepada 75.6, manakala pemetikan bagi setiap penerbitan meningkat daripada 60.3 kepada 64.2.
Skor rangkaian penyelidikan antarabangsa mencapai 99.8, nisbah staf akademik (85.7), manakala staf akademik antarabangsa merekodkan peningkatan tertinggi antara semua indikator yang dinilai daripada 37.0 kepada 61.8.
Secara keseluruhannya, pencapaian ini memberikan nilai tambah kepada mahasiswa, rakan strategik dan masyarakat.
“Kedudukan UTM dalam kelompok 25 universiti terbaik Asia disokong prestasi cemerlang dalam mobiliti pelajar antarabangsa, menawarkan peluang kepada mahasiswa untuk memperoleh kelayakan akademik yang diiktiraf pada peringkat global serta pengalaman pembelajaran merentas negara.
“Penyelidikan UTM terus memacu kemajuan dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan tenaga hidrogen, yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan tenaga lebih bersih, industri lebih pintar serta peningkatan kualiti kehidupan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, UTM akan terus memperkukuh pencapaian menerusi strategi UTM ASCEND 2030, dengan memberikan tumpuan berterusan kepada peningkatan prestasi dalam semua indikator penilaian.















Tinggalkan Balasan