KUALA LUMPUR, 10 Nov — Sasaran penjenayah siber kini melangkaui motif kecurian data semata-mata, sebaliknya semakin beralih kepada cubaan mengganggu kelangsungan kehidupan seharian rakyat melalui serangan terhadap sistem fizikal dan teknologi operasi (OT).
Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata Malaysia tidak terkecuali daripada ancaman itu, khususnya melibatkan sistem kawalan industri dalam sektor kesihatan, tenaga, bekalan air dan rantaian bekalan.
Mengambil contoh insiden di Eropah baru-baru ini, beliau berkata pencerobohan yang melumpuhkan operasi pasar raya serta sistem penyejukan bank darah membuktikan serangan era baharu sengaja direka untuk menimbulkan kekacauan dalam perkhidmatan asas masyarakat.
Megat Zuhairy berkata situasi itu bertambah mencabar susulan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan penjenayah melancarkan pencerobohan secara automatik dan serentak terhadap pelbagai organisasi.
“Keupayaan ini telah meningkatkan skala, kelajuan serta intensiti serangan siber di seluruh dunia, dan Malaysia seperti negara lain tidak terkecuali daripada risiko menghadapi modus operandi yang sama,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sistem OT dalam sektor strategik berkenaan amat berisiko terdedah kepada serangan sekiranya disambungkan secara terus kepada Internet tanpa perlindungan sewajarnya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata NACSA menggesa entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) mengasingkan sistem operasi kritikal berkenaan daripada rangkaian luar, selain memastikan pelan kesinambungan perkhidmatan sentiasa diperkemas.
“Tiada sistem yang kebal sepenuhnya daripada serangan, namun kesiapsiagaan dan keupayaan pemulihan yang pantas dapat mengurangkan impak sesuatu insiden kepada rakyat,” katanya.
Dari sudut perundangan, Megat Zuhairy berkata Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) mewajibkan entiti NCII mematuhi amalan keselamatan ketat bagi memastikan sistem perkhidmatan masing-masing berdaya tahan.
Bagi organisasi bukan NCII pula, NACSA mengeluarkan Garis Panduan Kesiapsiagaan dan Pengendalian Ancaman Keselamatan Siber sebagai rujukan bagi mempertingkat kesiapsiagaan, pengesanan awal, tindak balas ancaman dan kesinambungan perkhidmatan.
Menyentuh langkah Majlis Keselamatan Negara (MKN) menaikkan Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara (NCTL) daripada Rendah kepada Sederhana pada 4 Nov lepas, beliau berkata ketetapan itu sebagai langkah proaktif berjaga-jaga dan bukan bermakna negara sedang mengalami krisis keselamatan siber.
Tindakan itu disusuli arahan kepada semua ketua sektor dan entiti NCII untuk memperketat pemantauan serta mengemukakan laporan mingguan kepada NACSA secara berkala, walaupun tiada insiden berlaku.
“Keselamatan siber adalah tanggungjawab bersama dan setiap individu boleh menyumbang dengan mengamalkan langkah keselamatan yang betul serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan,” katanya.
Megat Zuhairy berkata kerajaan dan industri perlu mengutamakan perkongsian risikan ancaman secara pantas, membangunkan bakat tempatan serta melaksanakan pemantauan berbantukan teknologi, termasuk AI bagi memperkukuh pertahanan pada masa hadapan.
Beliau berkata latihan dan simulasi insiden secara berkala juga penting manakala penubuhan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi (CSCDC) di bawah NACSA turut memperkukuh kepakaran serta keupayaan teknologi keselamatan siber negara.













Tinggalkan Balasan