Duta Khas China bagi Hal Ehwal Asia Barat Kunjung Iran

Duta Khas Kerajaan China bagi Hal Ehwal Asia Barat, Zhai Jun mengadakan lawatan ke Iran pada Ahad bagi mengadakan perbincangan mendalam mengenai hubungan dua hala China-Iran serta mendapatkan perkembangan semasa di rantau itu. 

Menurut Zhai, konflik yang berlarutan di Asia Barat dilihat semakin merebak sehingga menganggu gugat keamanan di rantau berkenaan. 

Ujarnya, China berpandangan bahawa penggunaan kuasa ketenteraan bukan penyelesaian kepada konflik yang berlarutan di Asia Barat, selain turut menyeru semua pihak yang terlibat mengutamakan pendekatan dialog serta menghormati kedaulatan dan keselamatan setiap negara. 

Zhai juga menekankan keperluan untuk semua pihak berpegang kepada pilihan damai serta kepada penyelesaian politik dengan pendekatan rasional dan pragmatik bagi menggalakkan pemulihan kestabilan dan pembangunan di rantau itu secepat mungkin.

Sementara itu, Iran pula menyatakan sokongan padu terhadap beberapa inisiatif dan pendirian penting yang dikemukakan Presiden Xi Jinping, selain menghargai peranan konstruktif China dalam menggalakkan keamanan dan menghentikan peperangan.

Pentadbiran Teheran juga menegaskan komitmennya untuk mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah yang dimiliki Iran serta menolak sebarang campur tangan luar, di samping berpegang teguh kepada dialog serta rundingan bagi menyelesaikan konflik serantau melalui pendekatan politik.

Iran juga bersedia untuk bekerjasama dengan China serta pihak lain yang mencintai keamanan bagi mempercepat pemulihan keamanan dan ketenteraman di Asia Barat terutama rantau Teluk.