Korea Selatan Raih Tempat Ke-10 Dunia Dalam Daya Saing AI, Digital

SEOUL, 11 Nov — Korea Selatan menduduki tangga ke-10 daripada 70 negara dalam penarafan daya saing digital dan kecerdasan buatan (AI) global, lapor Agensi Berita Yonhap yang memetik Kementerian Sains negara itu pada Rabu.

Menurut kementerian itu, Korea Selatan melonjak lapan anak tangga berbanding tahun sebelumnya berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD), sebuah sekolah perniagaan yang berpangkalan di Switzerland.

Amerika Syarikat (AS) menduduki tempat teratas tahun ini selepas meningkat daripada kedudukan keempat tahun lepas, manakala Kanada yang sebelum ini mendahului penarafan berkenaan jatuh ke tangga kelima.

Dalam kalangan negara Asia-Pasifik, Singapura berada di tangga kedua, diikuti China di kedudukan ketujuh dan Jepun di tangga ke-19.

Mengikut kategori, Korea Selatan menduduki tempat ketiga bagi indikator infrastruktur teknologi dan kecekapan.

Negara itu turut menduduki tempat pertama dalam kategori perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain berada di tangga kelapan dalam indeks penerapan AI, menurut kementerian itu.

Kementerian Sains memaklumkan bahawa peningkatan kedudukan keseluruhan Korea Selatan mencerminkan hasil usaha kerajaan melaksanakan pelbagai dasar serta daya tahan yang kukuh negara itu.

Kementerian itu turut berikrar untuk mempercepat pelaksanaan dasar utama berkaitan AI dan digital.