ECRL Pemangkin Ekonomi Terengganu – Menteri Besar

KUALA TERENGGANU, 11 Nov — Perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijadual mula beroperasi pada pertengahan Disember, bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Terengganu.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sehubungan dengan itu, kerajaan negeri menggesa golongan pengusaha dan peniaga di negeri tersebut, supaya mengambil peluang serta memanfaatkan sepenuhnya kemudahan jaringan pengangkutan itu.

“Saya percaya ia boleh membantu dari segi ekonomi rakyat. Pengusaha-pengusaha perlu melihat bagaimana mereka boleh memanfaatkan ECRL semaksima mungkin, khususnya daripada segi pergerakan barangan dan memperluas aktiviti perniagaan dari satu tempat ke satu tempat yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita, selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri juga yakin perkhidmatan pengangkutan yang baharu itu akan merancakkan lagi sektor pelancongan Terengganu, dengan memberi satu lagi pilihan pengangkutan yang lebih mudah dan fleksibel untuk mereka merancang percutian.

Beliau berkata perkhidmatan itu juga akan menyokong penganjuran Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2027, yang menyasarkan kemasukan lebih 15 juta pelancong ke negeri tersebut pada tahun depan. 

Beliau berkata kerajaan negeri turut mengadakan perbincangan bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), bagi memastikan kemudahan dan perkhidmatan sokongan di kawasan sekitar stesen ECRL dapat dibangunkan dengan baik, bagi menampung kemasukan pelancong dan pengunjung luar. 

“Kita juga telah berbincang dengan MRL berhubung pembangunan kawasan sekitar stesen termasuk TOD (pembangunan berorientasikan transit), bagi memastikan kemudahan itu turut memberi manfaat kepada pelancong, penduduk dan komuniti perniagaan setempat,” katanya.

ECRL dijangka memendekkan masa perjalanan antara Pantai Timur dengan Lembah Klang, dengan perjalanan Gombak-Kuala Terengganu mengambil masa kira-kira tiga jam, manakala perjalanan Gombak-Kota Bharu sekitar empat jam.

Pembinaan jajaran ECRL di Terengganu meliputi jarak sepanjang 242 kilometer dan merangkumi enam stesen, iaitu Chukai, Kemasik, Dungun, Kuala Terengganu, Bandar Permaisuri dan Jertih.