Industri Pembinaan Buluh Perlu Utamakan Bekalan Tempatan – Nanta

KUALA LUMPUR, 11 Nov — Industri pembinaan berasaskan buluh diminta mengutamakan rantaian bekalan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan import, sekali gus merancakkan ekonomi komuniti luar bandar.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pengeluaran buluh dalam negara perlu diperkasakan bagi memperluas penggunaannya dalam sektor pembinaan, selain meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat termasuk Orang Asli.

Beliau berkata industri berkenaan berpotensi membuka peluang kepada pekebun kecil dan masyarakat Orang Asli untuk terlibat dalam aktiviti penanaman, pembekalan, pemprosesan serta penghasilan produk bernilai tambah.

“Kami belum menetapkan sasaran khusus penggunaan buluh dalam sektor pembinaan kerana usaha pada peringkat awal kini lebih tertumpu kepada memperkenalkan potensi bahan itu dan memahami kesesuaiannya untuk digunakan secara meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program BAMBUild ’26: The Future of Sustainable Bamboo Construction di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Selain itu, beliau mahu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan SIRIM Berhad bagi membangunkan kerangka jaminan kualiti rantaian bekalan buluh.

Katanya, kerjasama itu perlu memperincikan aspek pemilihan, penggredan, rawatan, pengujian serta kebolehkesanan bahan, selain meneliti keperluan pensijilan yang sesuai sebelum digunakan dalam pembinaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ibrahim Esa berkata buluh mempunyai beberapa ciri kejuruteraan yang menarik antaranya kekuatan regangan, selain berpotensi dimanfaatkan melalui pembangunan teknologi buluh terjurutera (engineered bamboo).

“Inovasi seperti glued laminated bamboo (glulam) dan strand woven bamboo menawarkan potensi penggunaan bahan berkenaan dalam seni bina moden, termasuk pembinaan struktur berdaya tahan bencana,”katanya.

Beliau berkata aspek keselamatan, integriti struktur dan pematuhan piawaian antarabangsa seperti ISO 22156 dan ISO 22157 perlu diberi perhatian dalam usaha memperluas penggunaan buluh sebagai bahan binaan.

Program BAMBUild ’26 anjuran JKR dan CIDB bersempena dengan International Construction Week (ICW) 2026 itu menghimpunkan tujuh penceramah pakar serta sesi BAMBUild Dialogue bagi membincangkan hala tuju pembinaan buluh mampan negara.

BAMBUild ’26 juga bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat rujukan teknologi pembinaan buluh lestari di rantau ASEAN.