MANILA, 15 Nov — ASEAN mesti memperkukuh tindak balas kolektif terhadap ketegangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi dan ancaman rentas sempadan yang tidak mampu ditangani oleh mana-mana negara anggota secara bersendirian, kata Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr.
Beliau berkata gangguan terhadap pengangkutan serta bekalan tenaga dan makanan pada awal tahun ini menunjukkan mengapa pemimpin serantau perlu bersatu walaupun berdepan tuntutan mendesak di negara masing-masing.
“Ketegangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi, teknologi baharu, perubahan iklim dan ancaman rentas sempadan sedang mengubah rantau kita dengan lebih pantas daripada kemampuan mana-mana negara untuk bertindak balas secara bersendirian,” katanya pada majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini pada Ahad.
“Tiada negara anggota yang memiliki semua sumber dan keupayaan,” katanya sambil menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam memperkukuh keupayaan negara masing-masing.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghadiri majlis itu bersama pemimpin ASEAN lain serta wakil negara rakan kongsi dan pertubuhan.
Marcos berkata para pemimpin sebelum ini pernah mempertimbangkan untuk menangguhkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu pada awal tahun ini bagi menangani keperluan mendesak dalam negara yang timbul akibat gangguan terhadap bekalan keperluan asas.
Bagaimanapun, rundingan yang diadakan mencapai kata sepakat bahawa krisis berkenaan menjadikan pertemuan ASEAN lebih penting bagi merangka tindak balas yang terselaras.
Beliau berkata pendekatan itu menjadi panduan kepada Kepengerusian ASEAN oleh Filipina pada tahun pertama pelaksanaan “ASEAN 2045: Masa Depan Bersama”, dengan keutamaan tertumpu kepada keamanan dan keselamatan, kemakmuran serta pemerkasaan rakyat.
“Keamanan memberikan kestabilan kepada masyarakat kita untuk membolehkan kemakmuran berkembang. Kemakmuran pula menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat kita,” katanya.
Marcos berkata ASEAN telah memperkukuh kerjasama maritim serta tindak balas terhadap pemerdagangan manusia, jenayah siber, penipuan dalam talian dan ancaman rentas sempadan lain sepanjang tahun ini.
Mengenai kerjasama ekonomi, Marcos mengetengahkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN, kemajuan Grid Tenaga ASEAN, hubungan perdagangan dan rantaian bekalan yang lebih kukuh serta sokongan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan industri kreatif.
Beliau berkata ASEAN turut memajukan kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan rantau ini memainkan peranan dalam membentuk hala tuju pembangunan teknologi memuncul, di samping memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana, perlindungan sosial dan daya tahan digital dalam kalangan golongan muda.
Bersempena ulang tahun ke-50 Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), Marcos menegaskan semula kepentingan sikap saling menghormati, penolakan terhadap ancaman atau penggunaan kekerasan serta penyelesaian pertikaian secara aman.
Beliau berkata keputusan yang dibuat bersama rakan kerjasama luar dalam beberapa hari akan datang akan membentuk tindak balas ASEAN terhadap cabaran semasa serta persediaannya untuk generasi akan datang.
Sidang kemuncak itu berlangsung dari 15 hingga 17 Nov. Filipina memegang jawatan Pengerusi ASEAN bagi 2026 dengan tema “Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama”.











Tinggalkan Balasan