ISLAMABAD, 17 Nov — Mesyuarat Majlis Menteri Pertubuhan Kerjasama Ekonomi (ECO) Ke-30 berakhir di Islamabad, Pakistan pada Isnin dengan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama serantau, memajukan pembangunan mampan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, lapor Anadolu Ajansi.
Menerusi deklarasi bersama, mesyuarat itu menyuarakan kebimbangan terhadap situasi geopolitik yang mencabar di rantau berkenaan, sambil menekankan kepentingan sikap mengawal diri, dialog dan usaha diplomatik dalam menyelesaikan pertikaian.
Deklarasi itu turut menyatakan sokongan terhadap usaha pengantaraan oleh Pakistan dan Qatar, selain inisiatif terbaharu Iran yang bertujuan mencapai penyelesaian bermaruah serta menamatkan konflik berpanjangan di Asia Barat secara menyeluruh dan berkekalan.
Sambil memuji usaha pengantaraan Pakistan dalam meredakan ketegangan ketika krisis Iran-Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, deklarasi itu menegaskan semula kepentingan dialog, diplomasi, penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa serta usaha memupuk kepercayaan bersama, kestabilan dan penyelesaian pertikaian secara aman.
Deklarasi berkenaan turut menggesa kerjasama berterusan dalam kerangka ECO bagi mencapai keamanan dan kestabilan berkekalan di rantau itu.
Selain itu, deklarasi itu menolak tindakan paksaan sepihak, sekatan dan tekanan ekonomi serta kesannya yang melangkaui sempadan negara dalam bidang ekonomi, teknologi, kewangan dan perdagangan.
Menurut deklarasi itu, langkah berkenaan bertentangan dengan tujuan dan prinsip yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), norma asas undang-undang antarabangsa serta hak setiap negara untuk membangun.









Tinggalkan Balasan