Thailand, AS Capai Persetujuan Utama Dalam Rundingan Perdagangan Timbal Balas

BANGKOK, 17 Nov — Thailand dan Amerika Syarikat (AS) mencapai persetujuan mengenai perkara utama dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART), menandakan langkah penting ke arah memperkukuh hubungan ekonomi dua hala dan melindungi akses Thailand ke pasaran eksport terbesarnya.

Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Presiden AS Donald Trump menandatangani kenyataan bersama mengenai perjanjian itu di Manila, Filipina pada Selasa, menjelang Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS.

Jurucakap Kerajaan Thailand Ekkapob Pianpises berkata kenyataan bersama itu secara rasmi mengesahkan bahawa kedua-dua negara telah mencapai persetujuan mengenai perkara utama dalam rundingan berkenaan.

Ekkapob berkata perkembangan itu akan membantu mengurangkan ketidaktentuan perdagangan, meningkatkan keyakinan perniagaan dan pelabur serta membuka peluang baharu bagi perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

“Kemajuan ini penting untuk melindungi akses Thailand ke pasaran AS, yang merupakan pasaran eksport terbesar negara itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ekkapob berkata perjanjian itu juga akan meningkatkan peluang produk Thailand memperoleh kadar tarif yang berdaya saing berbanding produk dari negara lain di rantau ini, sekali gus membolehkan pengeksport dan pelabur merancang perniagaan mereka dengan lebih yakin.

Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan Suphajee Suthumpun mengetuai pasukan rundingan Thailand di bawah kerangka Team Thailand dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan.

“Sepanjang rundingan, pasukan itu mengadakan perundingan dengan agensi kerajaan, sektor swasta dan pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor bagi memastikan cadangan serta kebimbangan mereka diambil kira dalam menentukan pendirian Thailand,” katanya.

Ekkapob berkata langkah seterusnya melibatkan kedua-dua negara menyediakan dan meneliti butiran perundangan sepenuhnya sebelum menandatangani perjanjian ART yang muktamad, diikuti prosedur perundangan domestik masing-masing.

Di Thailand, kerajaan akan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan yang berkaitan sebelum mengemukakan perjanjian itu kepada Parlimen selaras dengan undang-undang dan Perlembagaan negara berkenaan.

Beliau berkata perjanjian itu juga akan membuka peluang kepada Thailand dan AS untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, teknologi dan inovasi, sekali gus meningkatkan daya saing Thailand serta mewujudkan peluang ekonomi jangka panjang.

“Pemeteraian kenyataan bersama ini menandakan pencapaian penting yang mengesahkan Thailand dan AS telah mencapai persetujuan mengenai perkara utama dalam rundingan, bertujuan melindungi pasaran eksport, memperluas peluang perdagangan dan pelaburan serta meningkatkan keyakinan perniagaan Thailand untuk kekal berdaya saing dalam pasaran global,” katanya.