Anwar Sampai Ucapan Penting Pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC

SHENZHEN (China), 18 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucapan penting di Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2026 pada hari pertama Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (AELM) APEC, di sini.

Ucapan beliau akan menekankan kepada perdagangan yang lebih terbuka dan kesalinghubungan meluas bagi menangani cabaran global yang berpunca daripada tarif membebankan serta harga minyak mentah yang tinggi.

Anwar, yang tiba di Shenzhen tengah malam tadi selepas menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan sidang kemuncak berkaitan di Manila, Filipina akan memulakan urusan rasmi beliau hari ini dengan menghadiri Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC yang diadakan di Qianhai International Conference Centre (QICC).

Beliau dijadualkan menyampaikan ucapan bertajuk “Rethinking Openness: Building Shared Prosperity in the Asia Pacific” pada sidang kemuncak itu yang dijangka dihadiri lebih 2,000 peserta. 

Selain Anwar,  Presiden China Xi Jinping serta Presiden Rusia Vladimir Putin turut menyampaikan ucapan pada sidang kemuncak itu.

Sebelum menyampaikan ucapannya, Perdana Menteri akan menerima laporan daripada ahli-ahli Majlis Penasihat Perniagaan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (ABAC).

ABAC menasihati para pemimpin APEC mengenai isu-isu yang berkepentingan kepada dunia perniagaan, serta menyediakan maklumat tentang perspektif perniagaan dalam bidang-bidang kerjasama tertentu.

Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC itu menyediakan platform bagi pemimpin perniagaan dan penggubal dasar untuk bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan ekonomi serantau, peluang pelaburan, serta hala tuju masa depan kerjasama ekonomi.

Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan seterusnya akan mengadakan beberapa siri pertemuan perniagaan dan diplomatik, selaras dengan langkah Malaysia mempergiat usaha untuk mengukuhkan hubungan ekonomi bersama rakan di peringkat serantau dan global.

Beliau akan menghadiri mesyuarat pra-majlis, sebelum mengadakan tiga pertemuan perniagaan secara bersemuka dengan wakil syarikat teknologi, termasuk Fastprint, Sion, dan China General Nuclear Power Group (CGN).

Perdana Menteri kemudiannya akan menghadiri Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China yang dianjurkan Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC).

Terdahulu, Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad menyatakan bahawa dialog tersebut penting bagi meneruskan momentum hubungan Malaysia-China, khususnya dalam memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan serta meneroka bidang berpotensi baharu.

Pada sebelah malamnya, Anwar akan menghadiri jamuan keraian dan persembahan kebudayaan bersempena dengan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di Shenzhen International Communication Centre (SICC) yang akan dihadiri para pemimpin dan wakil daripada 21 ekonomi APEC yang menyertai. 

Kemudiannya, Anwar juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon.

Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-33, yang dihoskan China dengan tema “Membina Komuniti Asia-Pasifik untuk Mencapai Kemakmuran Bersama”.