JAKARTA, 22 Nov — Tourism Malaysia Jakarta menerima Anugerah Kecemerlangan Promosi Pelancongan Antarabangsa pada detikcom Awards 2026 sebagai pengiktirafan terhadap usahanya mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan dalam kalangan pelancong Indonesia.
Pengarah Tourism Malaysia Jakarta Hairi Mohd Yakzan berkata pengiktirafan itu mencerminkan usaha berterusan agensi berkenaan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pasaran pelancongan Indonesia menerusi kempen promosi dan kerjasama dengan pemain industri.
“Anugerah ini mengiktiraf usaha gigih pasukan kami, bimbingan pihak pengurusan serta sokongan rakan industri dalam memperkenalkan Malaysia kepada pelancong Indonesia,” kata beliau kepada Bernama.
Anugerah itu disampaikan kepada Hairi yang mewakili Tourism Malaysia pada majlis anjuran platform berita digital Indonesia, detikcom di Jakarta pada 19 Nov bagi mengiktiraf pencapaian, inovasi dan sumbangan individu, jenama serta institusi dalam pelbagai sektor.
Hairi berkata dari Januari hingga Oktober tahun ini, Tourism Malaysia Jakarta melaksanakan 166 aktiviti promosi di seluruh Indonesia, termasuk 102 aktiviti jaringan industri dan libat urus perniagaan serta 36 inisiatif liputan media, pengiklanan dan perhubungan awam.
Beliau berkata agensi itu turut menganjurkan 13 program kerjasama strategik dan lawatan suai kenal, 13 misi jualan, seminar serta pameran perdagangan pelancongan, selain dua pameran pengguna sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, semua inisiatif itu dilaksanakan di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dengan kerjasama syarikat penerbangan, agensi pelancongan dan rakan industri bagi menarik lebih ramai pelancong Indonesia ke Malaysia serta memperkukuh hubungan pelancongan antara kedua-dua negara jiran.









Tinggalkan Balasan