JAKARTA, 22 Nov — Indonesia dan Kesatuan Eropah (EU) telah menandatangani secara rasmi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Indonesia-Kesatuan Eropah (IEU-CEPA) yang penting, membuka jalan ke arah akses pasaran lebih luas serta hubungan perdagangan dua hala lebih kukuh, dengan pelaksanaan disasarkan bermula pada tahun 2027.
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Koordinator Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia pada Sabtu, perjanjian tersebut telah ditandatangani di Brussels pada Sabtu waktu tempatan oleh Menteri Perdagangan Indonesia, Budi Santoso dan Pesuruhjaya Eropah bagi Perdagangan, Maros Sefcovic.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto berkata perjanjian itu akan membuka peluang yang lebih besar bagi produk Indonesia untuk menembusi pasaran Eropah dan menarik pelaburan berkualiti tinggi ke dalam sektor-sektor strategik negara.
“IEU-CEPA membuka pintu bagi produk-produk utama Indonesia untuk memasuki pasaran Eropah serta menarik pelaburan berkualiti ke dalam sektor-sektor strategik negara. Langkah seterusnya ialah memastikan proses ratifikasi dan peraturan pelaksanaan berjalan mengikut jadual, supaya daya saing ekonomi kita dapat dipertingkatkan lagi,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Kementerian itu memaklumkan bahawa di bawah IEU-CEPA, 90.4 peratus daripada garis tarif yang merangkumi produk Indonesia yang memasuki pasaran EU akan menikmati pengecualian duti import sebaik sahaja perjanjian itu mula berkuat kuasa.
Tarif bagi 8.37 peratus lagi garis tarif akan dikurangkan secara berperingkat dalam tempoh tiga hingga 15 tahun, atau tertakluk kepada kuota kadar tarif, membenarkan jumlah barangan tertentu dibawa masuk dengan kadar duti keutamaan.
Kementerian itu memaklumkan bahawa aturan tarif keutamaan ini akan mengukuhkan daya saing eksport utama Indonesia termasuk kasut, tekstil dan komoditi yang telah diproses di pasaran Eropah.
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri Indonesia dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan bahawa IEU-CEPA diunjurkan mampu meningkatkan eksport negara ke Eropah sebanyak hampir 58 peratus dalam tempoh lima tahun.
Langkah ini dijangka menjana manfaat kesejahteraan ekonomi bernilai US$2.8 bilion (US$1 = RM4.11) serta memberi manfaat kepada kira-kira lima juta pekerja dalam industri berintensifkan tenaga kerja, menurut kenyataan itu.
Kementerian itu menyatakan bahawa majlis menandatangani perjanjian tersebut turut menyaksikan Airlangga dan Sefcovic memeterai Perjanjian Perlindungan Pelaburan (IPA), bertujuan untuk mengukuhkan keyakinan pelabur, menyediakan kepastian undang-undang lebih mantap serta menggalakkan aliran pelaburan mampan.
Menurut kementerian itu, IPA tersebut juga akan mewujudkan peluang kerjasama dalam bidang tenaga boleh baharu, mineral kritikal, industri hiliran, pembuatan termaju dan ekonomi digital.
Kementerian itu turut memaklumkan bahawa kedua-dua perjanjian tersebut yang memuktamadkan proses rundingan berkenaan dijangka mula berkuat kuasa pada 1 Januari, 2027, susulan selesainya proses ratifikasi dan prosedur perundangan domestik masing-masing.















Tinggalkan Balasan