MARA Pergiat Pembangunan Tekno-Usahawan

ALOR SETAR, 22 Nov — Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mempergiat pembangunan usahawan yang mengintegrasikan teknologi, inovasi dan kreativiti atau teknousahawan dalam model perniagaan mereka, seiring dengan perkembangan ekonomi semasa.

Ketua Pengarah MARA Ir Dr Mahzan Teh berkata penggunaan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), automasi, e-dagang dan analisis data kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi dan daya saing.

“Kita mahu usahawan Bumiputera bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi turut berupaya menghasilkan penyelesaian, produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi yang mempunyai nilai komersial dan dalam konteks ini, pembangunan usahawan berpontensi tinggi perlu diberikan perhatian.

“Kita mahu lebih ramai usahawan beralih daripada perniagaan mikro dan kecil kepada perusahaan berskala sederhana, serta menjadi pemain industri yang mampu menjana nilai tambah tinggi,” katanya ketika berucap pada Perasmian Program Gerakan Ekoniaga MADANI (GEMA) Kedah di sini, hari ini.

Mahzan berkata penganjuran program GEMA Kedah, merupakan satu inisiatif strategik dalam memperluas akses usahawan kepada kemudahan, peluang dan sokongan pembangunan perniagaan dan ia bukan sekadar platform hebahan maklumat.

“Melalui program ini, usahawan berpeluang mendapat maklumat secara langsung mengenai  kemudahan pembiayaan, geran, latihan, pembangunan kapasiti serta khidmat nasihat yang disediakan oleh MARA dan agensi berkaitan.

“Saya ingin menegaskan bahawa kejayaan pembangunan usahawan memerlukan kerjasama seluruh ekosistem. MARA tidak boleh bergerak bersendirian, penglibatan persatuan perniagaan, institusi kewangan, agensi kerajaan, sektor swasta dan pemain industri, amat penting dalam menyediakan akses kepada pembiayaan, teknologi, kepakaran, rantaian bekalan dan pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Mahzan berkata Kedah mempunyai potensi besar dalam sektor perdagangan, perkhidmatan, makanan dan minuman, pertanian, automatif serta industri berkaitan dan ia perlu dimanfaatkan melalui penglibatan usahawan yang progresif, inovatif dan bersedia menerima perubahan.

“Saya percaya dengan sokongan ekosistem MARA serta kerjasama semua pihak, lebih ramai usahawan Bumiputera di Kedah mampu meningkatkan skala perniagaan dan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta negara,” katanya.

Pada program GEMA Kedah 2026 yang disertai 150 peserta serta 10 pempamer itu, penerima terpilih turut menerima cek cura, surat tawaran kemudahan pembiayaan perniagaan dan geran.