Cuaca Buruk Ancam 1.3 Juta Rakyat Palestin Di Gaza Dengan Bencana Kemanusiaan

BANDARAYA GAZA/ISTANBUL, 28 Nov — Lebih 1.3 juta rakyat Palestin yang tinggal di khemah yang semakin uzur berdepan kemungkinan bencana kemanusiaan susulan sistem cuaca buruk yang dijangka melanda wilayah itu dalam tempoh beberapa hari lagi, menurut amaran Pertahanan Awam Gaza pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jurucakapnya Mahmoud Basal memberitahu pemberita bahawa 65 peratus penduduk Gaza tinggal di khemah yang tidak sesuai untuk didiami, manakala 200,000 khemah yang semakin uzur dan 1,000 tempat perlindungan berisiko dilanda banjir.

Basal turut memberi amaran mengenai risiko bangunan rosak, yang boleh menyebabkan runtuh dan menghempap rakyat Palestin yang berlindung di dalamnya selepas kehilangan tempat tinggal.

“Jika ramalan ini tepat, kita benar-benar berdepan bencana,” katanya.

Beliau mengemukakan rayuan kemanusiaan segera kepada masyarakat antarabangsa, organisasi antarabangsa dan institusi kebajikan supaya bertindak sebelum sistem cuaca buruk itu melanda, menyalurkan bantuan kepada penduduk serta menyokong perkhidmatan penting di Gaza.

Basal berkata pasukan Pertahanan Awam berdepan kekurangan serius bekalan bahan api, minyak pelincir, tayar, bateri, alat ganti, kenderaan tindak balas pantas dan pam air, manakala pihak berkuasa perbandaran turut memerlukan peralatan untuk menangani kesan cuaca buruk yang dijangkakan.

Beliau menekankan keperluan untuk menggantikan khemah yang rosak dengan khemah yang mampu melindungi penduduk yang kehilangan tempat tinggal daripada hujan serta memperuntukkan dana bagi memulihkan infrastruktur di kawasan penempatan sementara bagi memastikan sekurang-kurangnya keadaan hidup yang wajar.

Basal berkata keadaan semasa yang berterusan itu jelas mencabuli hak, maruah dan privasi rakyat Palestin, sambil memberi amaran bahawa sistem cuaca buruk yang bakal melanda itu bukanlah yang terakhir sepanjang musim sejuk di Gaza.

Beliau berkata kesan bencana yang dijangkakan itu dapat dikurangkan sekiranya bekalan yang diperlukan disalurkan kepada penduduk Gaza, namun memberi amaran bahawa kesannya akan menjadi lebih buruk sekiranya masyarakat antarabangsa terus berdiam diri dan tidak mengambil tindakan.

“Penduduk ini merupakan tanggungjawab masyarakat dunia dan nilai kemanusiaan mesti dipelihara oleh semua pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Pada 6 Nov, sistem cuaca buruk melanda Gaza, mengorbankan lima rakyat Palestin termasuk dua wanita dan tiga kanak-kanak selepas benteng pasir runtuh dan menghempap khemah yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di bandar Deir al-Balah, tengah Gaza, menurut Pertahanan Awam.

Ribut itu menyebabkan lebih 70,000 khemah dilanda banjir dan menjejaskan kira-kira 350,000 rakyat Palestin, menurut Jawatankuasa Tertinggi Tindak Balas Kecemasan Musim Sejuk Gaza.

Pada 13 Nov, Kementerian Kesihatan Gaza mengumumkan kematian seorang bayi Palestin berusia sembilan bulan, Kinan Ahmed Arqiq, akibat hipotermia teruk, menandakan kematian pertama akibat cuaca sejuk pada musim sejuk kali ini.

Menurut kementerian itu, 10 rakyat Palestin maut akibat terdedah kepada cuaca sejuk pada musim sejuk lepas.

Penderitaan rakyat Palestin di Gaza semakin buruk ketika wilayah itu memasuki musim sejuk keempat sejak bermulanya perang genosid Israel pada Oktober 2023, dengan kemusnahan meluas rumah kediaman, infrastruktur dan rangkaian pembetungan, manakala ratusan ribu rakyat Palestin terpaksa tinggal di khemah dan tempat perlindungan yang kekurangan keperluan asas.