BANGI, 16 Jun — Malaysia sedang mengkaji untuk membangunkan perundangan berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani kerumitan undang-undang dalam era digital, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Azalina berkata beliau telah menulis kepada Menteri Digital Gobind Singh Deo bagi mencadangkan satu pertemuan antara Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Kementerian Digital bagi memulakan perbincangan ke arah penggubalan undang-undang baharu berkaitan AI.
“Saya telah menulis kepada Menteri Digital Gobind untuk melihat keperluan undang-undang khusus mengenai AI di negara kita. Perlu adakan pertemuan antara BHEUU dan Kementerian Digital,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan BHEUU dan pelancaran Akademi Perundangan Negara (APN) di sini, hari ini.
Menurut Azalina Malaysia masih belum mempunyai undang-undang khusus yang memfokuskan kepada AI kerana, tidak seperti teknologi tradisional, AI beroperasi di atas platform yang sama sekali berbeza.”
Azalina berkata setakat ini, satu-satunya undang-undang komprehensif mengenai AI di peringkat global ialah ‘AI Act’ oleh Kesatuan Eropah (EU) yang memperincikan takrifan, tanggungjawab dan kategori risiko berkaitan AI.
Azalina turut menekankan kemajuan Malaysia dalam pendigitalan sistem kehakiman, termasuk pelaksanaan inisiatif seperti sistem pertukaran suara ke teks dan pemfailan dalam talian.
“Kita mahu mahkamah menjadi lebih cekap. Mahkamah kini menerima lebih banyak dokumen digital, namun kita mahu usaha ini diperluaskan. Kita mahu ia dilaksanakan bukan sahaja di Putrajaya, tetapi juga di mahkamah daerah,” katanya.
Tinggalkan Balasan