NILAI, 18 Jun — Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggesa pelajar Malaysia di Iran supaya meninggalkan negara itu serta-merta dan melaporkan diri di Kedutaan Besar Malaysia di Tehran susulan keadaan yang semakin meruncing.
Timbalan Menterinya Datuk Mustapha Sakmud berkata setakat ini empat pelajar Malaysia dikenal pasti menuntut di Qom dan Isfahan dan berada dalam keadaan selamat selain keluarga mereka turut dimaklumkan situasi semasa.
“Dengan kerjasama Kementerian Luar kita minta semua pelajar tersebut supaya mendaftar di kedutaan untuk proses evakuasi.
“Dari sudut keselamatan mereka perlu keluar sesegera mungkin dari Iran kerana kita tidak mahu perkara tak diingini berlaku dengan konflik yang semakin kritikal,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan 25 Tahun Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.
Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud selaku Tuanku Canselor USIM berkenan menyempurnakan majlis.
Semalam, Kementerian Luar meminta semua rakyat Malaysia yang berada di Iran untuk meninggalkan negara itu dengan serta-merta susulan situasi keselamatan yang semakin tegang selepas tindakan agresif Israel terhadap Iran.
Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan bahawa keadaan di Iran kekal tidak menentu dan berisiko untuk bertambah buruk tanpa sebarang amaran awal.
Konflik antara Iran dan Israel semakin memuncak sejak Jumaat lepas susulan serangan udara tanpa provokasi oleh Israel ke atas wilayah Iran yang dilaporkan mengorbankan beberapa pegawai kanan tentera dan ahli sains.
Sementara itu, Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Sharifudin MD Shaarani berkata setakat ini seramai 14,000 pelajar termasuk lebih 700 pelajar antarabangsa daripada lebih 30 negara melanjutkan pelajaran di universiti itu menjadikan ia sebagai komuniti global yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan nilai.
“Dalam bidang penyelidikan, USIM telah melaksanakan 2,476 projek sejak 2000 dengan jumlah pembiayaan melebihi RM102 juta dari pelbagai peringkat seperti geran universiti, kebangsaan, industri dan antarabangsa.
“Sebagai contoh, sumbangan sektor kebangsaan mencatatkan RM63 juta manakala sektor swasta dan badan bukan kerajaan (lebih RM14 juta),” katanya dan menambah USIM melahirkan lebih 37,000 alumni setakat ini.
Tinggalkan Balasan