KUALA LUMPUR, 18 Jun — Indeks Peralihan Tenaga Forum Ekonomi Dunia (WEF) menunjukkan kemajuan terpantas sejak sebelum pandemik COVID-19, dengan 65 peratus daripada negara yang ditinjau mencatatkan peningkatan.
Sementara itu, 28 peratus daripada negara yang ditinjau menunjukkan kemajuan dalam semua dimensi utama prestasi sistem tenaga iaitu keselamatan, kemampanan dan kesaksamaan.
Dalam satu kenyataan, WEF berkata berdasarkan laporan bertajuk “Fostering Effective Energy Transition”, walaupun ekonomi maju sedang bergelut dengan masalah grid yang terlebih beban, harga tinggi dan halangan rantaian bekalan, rantau seperti Eropah dan Asia yang sedang berkembang pesat dilihat mencatatkan kemajuan.
Perkembangan ini didorong oleh pembaharuan dasar yang disasarkan, infrastruktur yang dipertingkat dan pertumbuhan pelaburan dalam tenaga bersih.
Ketua Pusat Tenaga dan Bahan WEF Roberto Bocca berkata sistem tenaga yang berkembang pada tahap yang berbeza kini menunjukkan pendekatan lebih menyeluruh serta kemajuan yang ketara.
“Ia satu kemajuan yang memberangsangkan apabila 28 peratus negara ini termasuk pengguna dan pengeluar tenaga utama seperti Brazil, China, Amerika Syarikat dan Nigeria mencatat kemajuan dalam pelbagai dimensi.
“Namun, untuk kekal di landasan yang betul, pelaburan segera diperlukan di ekonomi membangun yang sedang berkembang pesat,” katanya.
Sementara itu, menurut laporan tersebut, indeks berkenaan mencatat pertumbuhan 1.1 peratus tahun ke tahun, peningkatan terpantas sejak sebelum pandemik.
Laporan itu menunjukkan peningkatan paling kukuh, didorong oleh kestabilan harga tenaga dan pengurangan subsidi, manakala aspek kemampanan turut bertambah baik hasil peningkatan penggunaan tenaga boleh baharu dan penambahbaikan kecekapan tenaga.
“Namun, keterjaminan tenaga kekal tidak berubah akibat sistem tenaga yang kurang anjal, kebergantungan kepada import dan kekurangan kepelbagaian bekalan.
“Walaupun pelaburan dalam tenaga bersih dianggarkan mencecah US$2 trilion (US$1=RM4.23) pada 2024, pelepasan karbon mencapai paras tertinggi 37.8 bilion tan, yang merupakan tahun paling panas direkodkan.
“Tahun 2024 mencatatkan peningkatan permintaan tenaga sebanyak 2.2 peratus, didorong oleh penggunaan kecerdasan buatan (AI), pusat data, sistem penyejukan dan elektrifikasi,” kata laporan itu.
Laporan itu turut menekankan tiga keutamaan sistemik untuk memastikan peralihan tenaga kekal di landasan.
Tiga keutamaan itu termasuk mendefinisikan semula keselamatan tenaga melebihi isu bekalan tradisional, termasuk ketahanan grid dan infrastruktur digital, membetulkan ketidakseimbangan modal, terutamanya di ekonomi membangun dan menangani halangan infrastruktur seperti kelewatan kelulusan, kekurangan tenaga kerja dan kapasiti grid, yang kini menjadi penghalang lebih besar berbanding ketersediaan teknologi, katanya.
Bagi mengekalkan momentum dan membina daya tahan, laporan itu menggesa dasar yang adaptif untuk menarik pelaburan jangka panjang serta menggalakkan kerjasama, memodenkan infrastruktur, melabur dalam kemahiran tenaga kerja dan inovasi dan memperluas penggunaan teknologi bersih, terutamanya dalam sektor yang sukar dinyahkarbon, serta meningkatkan pelaburan modal di negara membangun.
Sejak 2021, lebih 80 peratus pertumbuhan permintaan tenaga datang daripada ekonomi membangun, namun lebih 90 peratus pelaburan dalam tenaga bersih berlaku di negara maju dan China, menunjukkan ketidakpadanan antara aliran modal dan permintaan masa depan.
“Negara Asia yang pesat membangun diterajui China dan diikuti Malaysia, menunjukkan peningkatan peraturan sebanyak 2.6 peratus serta lonjakan pelaburan tenaga bersih sebanyak 18.7 peratus,” katanya.
Laporan WEF, yang dibangunkan dengan kerjasama Accenture, menilai prestasi sistem tenaga di 118 negara berdasarkan tiga dimensi utama, keselamatan, kelestarian dan kesaksamaan, serta lima faktor kesiapsiagaan: komitmen politik, kewangan dan pelaburan, inovasi, infrastruktur serta pendidikan dan modal insan.
Tinggalkan Balasan