Ketua Eksekutif Amazon Jangka AI Kurangkan Keperluan Pekerja Pejabat

PORTLAND (Oregon), 18 Jun — Pengurusan Amazon pada Selasa menjangkakan bahawa perisian kecerdasan buatan (AI) akan mengurangkan bilangan pekerja pejabat di syarikat e-dagang terbesar dunia itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

“Kita akan memerlukan lebih sedikit tenaga kerja bagi sesetengah tugas sedia ada, dan lebih ramai untuk melaksanakan tugasan jenis baharu,” kata Ketua Eksekutif Amazon Andy Jassy dalam e-mel kepada kakitangan.

Beliau berkata sukar untuk meramalkan bagaimana tenaga kerja keseluruhan akan berkembang, namun “dalam beberapa tahun akan datang”, peningkatan kecekapan hasil penggunaan AI dijangka membawa kepada pengurangan pekerja pejabat.

Amazon kini menggaji kira-kira 1.5 juta orang di seluruh dunia, termasuk sekitar 350,000 pekerja pejabat dalam pelbagai peranan, menurut laporan terdahulu.

Akhbar The Wall Street Journal melaporkan bahawa syarikat itu tidak menjangka pemberhentian kerja secara besar-besaran seperti pada 2022 dan 2023 dalam masa terdekat. Sebaliknya, jawatan kosong yang ditinggalkan tidak akan diisi semula. Namun, menurut sumber yang rapat dengan perkara itu, kemungkinan pemberhentian kerja tetap tidak diketepikan.

Amazon kini memberi tumpuan kepada pembangunan “ejen AI” – perisian yang mampu melaksanakan tugasan secara berdikari. Menurut Jassy, ejen ini boleh meringkaskan maklumat dari web dan sumber data, menulis perisian, menterjemah bahasa dan mengautomasikan pelbagai tugasan yang memakan masa.

“Ejen ini akan menjadi rakan sekerja yang boleh kita panggil pada pelbagai peringkat kerja,” tambahnya sambil menggesa pekerja supaya bereksperimen dengan AI apabila berpeluang.

Kesan AI terhadap pasaran pekerjaan telah menjadi kebimbangan sejak sekian lama. Baru-baru ini, syarikat penstriman muzik terkemuka Spotify mengumumkan bahawa mana-mana pasukan yang memohon tambahan tenaga kerja perlu terlebih dahulu membuktikan bahawa AI tidak mampu menjalankan tugas berkenaan.

Pembangun aplikasi pembelajaran bahasa Duolingo pula merancang untuk secara berperingkat menggantikan pekerja luar dengan AI.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda